Siapa dalang isu pemisahan Sabah & Sarawak

Isu pemisahan Sabah dan Sarawak dari Malaysia telah dicetuskan oleh Pakatan Rakyat yang membabitkan PKR dan DAP dalam usaha mereka untuk merampas Putrajaya dari UMNO-BN. Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang-Guan Eng melihat hanya dengan mengeluarkan Sabah dan Sarawak dari Malaysia sahaja, barulah mereka dapat menguasai Putrajaya, sebelum kemudiannya dicantumkan dengan Singapura yang memberi majoriti 4/5 yang tidak membolehkan lagi Islam, Melayu-Bumiputera, Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu wujud secara diiktiraf oleh Perlembagaan.

Kerana itulah, pada tahun 2011, ketika Pilihanraya Negeri Sarawak, isu ini mula dimainkan dan ditiupkan. Selepas ‘kejayaan’ DAP menguasai 12 kerusi DUN di Sarawak pada PRN itu berbanding 6 pada tahun 2006, isu tersebut semakin panas. PKR yang bercita-cita besar dengan bertanding di 49 kerusi DUN, mula mereka-reka cerita kononnya mereka akan menang dan merampas Sarawak dari tangan Barisan Nasional.

Untuk tujuan tersebut, PKR menerusi Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin mula bercakap tentang perlunya Sarawak keluar dari Malaysia. Tetapi percakapan tersebut dibuat secara berkias dan tidak terlalu berterus-terang.

Bagaimanapun, keputusan PRN ialah BN masih lagi mengekalkan penguasaan dua pertiga majoriti di DUN Sarawak. PKR yang bercakap besar, kecundang teruk kerana daripada 49 kerusi yang ditandingi, hanya 3 kerusi DUN sahaja yang berjaya dimenangi.

Walau bagaimanapun, dengan menggunakan proksi dari STAR dan beberapa orang pemimpin buangan yang kecewa kerana tidak dapat projek, isu Sarawak keluar dari Malaysia mulai kedengaran. Pada masa yang sama, Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang mula bergerak ke Sabah untuk mengekalkan momentum dan gelombang penentangan terhadap Pusat. Kempen dan ceramah dibuat secara lebih berkesan terutama menerusi pembabitan Jeffry Kitingan dan beberapa orang pemimpin tidak bernama dalam STAR.

Gerakan untuk mewujudkan Negara Borneo Utara (Sabah) sudah pun bermula. Dari tahun 2011 sehingga 2014, hasutan demi hasutan, kempen demi kempen dibuat. Sudah mula dipertikaikan tentang tarikh kemerdekaan. Sudah mula dipertikaikan tentang pembentukan ‘Negara Sabah’ dan ‘Negara Sarawak’ selain pembentukan Persekutuan Tanah Melayu yang diringkaskan kepada Malaya.

Sudah ada kalangan pemimpin dari kaum Bumiputera yang termakan dengan hasutan Lim Kit Siang dan DAP sehingga mereka mula mengungkit tentang kekayaan Sabah dan Sarawak yang kononnya telah dicuri oleh Kerajaan Persekutuan walaupun hakikatnya, pembangunan di Sabah dan Sarawak sudah beratus-ratus kali ganda lebih nyata berbanding sebelum menyertai Malaysia dan merdeka.

Sudah ada yang tidak lagi peduli dengan konsep Persekutuan dengan kepercayaan kepada konsep NEGARA SABAH dan NEGARA SARAWAK yang diadunkan oleh DAP menerusi skrip akademik walaupun fakta sejarah jelas menunjukkan Sabah dan Sarawak tidak pernah menjadi negara melainkan sebahagian daripada Kerajaan Sulu mahupun Kerajaan Brunei.

Sulu kehilangan Sabah apabila sultannya menjual Sabah kepada Inggeris dengan harga yang sangat murah. Brunei kehilangan Sarawak (Kuching) kerana James Brooke yang berjaya memperdayakan Sultan Brunei selain kekejaman Pengeran Mahkota, wakil Sultan Brunei itu sendiri. Tetapi Rentap Sungai Sekrang yang merupakan sebahagian daripada pahlawan-pahlawan Sarawak, menentang James Brooke dan Kerajaan Brooke sehingga ke akhir hayat mereka. Brunei kehilangan lebih banyak bahagian yang sekarang ini membentuk negeri Sarawak moden kepada Inggeris sama ada menerusi perang, pajakan mahupun pencerobohan.

DAP dan PKR sentiasa cuba menyembunyikan konsep Persekutuan terutama apabila mereka mempertikaikan tarikh kemerdekaan. Mereka gagal sama sekali mengambil kira negara Amerika Syarikat yang amat mereka kagumi kerana setiap negeri daripada 50 negeri yang membentuk negara tersebut, mempunyai tarikh kemerdekaan yang berbeza antara satu sama lain, tetapi secara rasminya sambutan dibuat adalah pada 4 Julai setiap tahun sempena kejayaan George Washington mengalahkan tentera Inggeris pada tahun 1776.

Malaysia cuma ada 13 buah negeri. Ada negeri yang merdeka lebih awal, dan ada negeri yang merdeka lebih lambat, tetapi tarikh kemerdekaan secara rasmi diselaraskan kepada 31 Ogos 1957 sesuai dengan konsep Federal.

Di belakang gerakan tersebut adalah DAP. Para pemimpin DAP yang tidak tahu apa-apa tentang sejarah mahupun Batu Bersumpah Keningau, bercakap dengan versi cerita mereka sendiri.

Serangan lanun Sulu pada Mac 2013 membuka mata sesetengah pihak tentang isu dan tahap keselamatan menerusi pembabitan orang dalam. Serangan berlaku tidak lama selepas satu rombongan PKR yang diketuai oleh Tian Chua dan Sivarasa berjumpa dengan Jamalul Kiram.

PKR bagaimanapun, menafikan pembabitan mereka walaupun pada masa yang sama, mereka cuba menimbulkan persepsi bahawa serangan tersebut hanyalah sandiwara Kerajaan UMNO-BN dan memperolok-olokkan kematian perwira-perwira negara yang mempertahankan kedaulatan Sabah dan Malaysia. Mereka sebaliknya cuba menimbulkan isu kad pengenalan palsu, PATI dan isu sempadan walaupun memang jelas, terdapat pengkhianatan dalam kes berkenaan.

Tidak serik kerana tiada tindakan, kempen agar Sabah berpisah dari Malaysia berterusan. Internet merupakan medan terbaik yang digunakan untuk kempen-kempen tersebut. DAP tidak lagi berada di belakang, sebaliknya sudah mula ke hadapan untuk menjayakan kempen tersebut.

Beberapa jam sebelum Ketua Polis Negara mengeluarkan amaran kepada pihak yang cuba mencetuskan hasutan agar Sabah keluar dari Malaysia, Lim Kit Siang bersama-sama Dyana Sofya dan sejumlah pemimpin DAP Sabah, baru selesai melakukan hasutan di Kota Kinabalu.

Kejahatan DAP ini dan motif mereka dapat dilihat jelas menerusi sidang media yang telah diadakan pada 1 September 2014 antara jam 9:30 pagi sehingga 10:00 pagi di ruang makan Hotel Shangri La, Bandaran, Kota Kinabalu.

Seramai 7 orang Ahli JawatanKuasa DAP Pusat, Negeri dan ahli DAP telah hadir semasa sidang media tersebut. Antara individu yang dikenali hadir dalam sidang media adalah : –

  1. LIM KIT Siang – Penasihat Parti DAP

  2. DIANA SOFYA – Setiausaha Sulit Penasihat DAP / Bekas calon DAP Parlimen TELUK INTAN.

  3. JIMMY WONG – Pengerusi DAP SABAH.

  4. EDWIN BOSI – Setiausaha DAP SABAH.

  5. WONG THIEN Fat – Tim DAP SABAH


Dyana Sofya yang merupakan perempuan Melayu muda yang dijadikan umpan oleh DAP dalam sidang media tersebut berkata, lawatan ke Sabah itu merupakan yang pertama baginya dalam Kempen Pergerakan Impian Malaysia. Katanya dia berharap benar generasi baru di Sabah akan menyertai perjuangan DAP yang mahu menjajah Sabah menerusi pembohongan hak pribumi Sabah.

Paling menarik ialah apabila Dyana Sofya yang jahil tentang Sejarah Penubuhan Malaysia, cuba menggunakan nama Almarhum Tunku Abdul Rahman yang menurutnya telah menggariskan hak-hak rakyat Sabah pada Batu Bersumpah tetapi sehingga kini tiada keadilan yang diperolehi berdasarkan isu KALIMAH ALLAH dan RAMPASAN BIBLE.

Tindakan pantas PDRM menyahut cabaran Lim Guan Eng di Pulau Pinang ke atas PPS, mengejutkan DAP walaupun mereka menjangkakan tindakan yang lebih ringan akan diambil. Disusuli pula dengan penangkapan beberapa orang pemimpin DAP dan PKR di bawah Akta Hasutan, membuatkan Lim Kit Siang mula bercakap tentang kunonya Akta Hasutan kerana dibimbangi Akta Hasutan digunakan untuk mematahkan cubaan mereka mengeluarkan Sabah dan Sarawak dari Malaysia.

Walau bagaimanapun, seluruh perhatian kini sedang tertumpu kepada tindakan seterusnya daripada PDRM dan KDN berhubung kempen dan hasutan mengeluarkan Sabah dan Sarawak dari Malaysia. Ramai yang sudah bosan dengan ‘kelembutan’ serta ‘terbuka’ dan ‘bertolak ansurnya’ Kerajaan dalam hal-hal keselamatan sehinggakan aktiviti subversif seperti yang dilakukan oleh DAP, berleluasa sehingga sampai ke peringkat yang amat memudaratkan.

Amaran keras daripada Ketua Polis Negara itu, diharapkan akan menyusul dengan tindakan, bukan sekadar amaran demi amaran kerana DAP dan Pakatan Rakyat serta konco-konco mereka sudah lali dengan amaran. Mereka hanya akan membuka mata apabila tindakan diambil.

Sebelum nasi menjadi bubur, ada baiknya pihak berkuasa melakukan sesuatu dengan pantas dan cergas!