Sultan Selangor murka DAP dan PKR derhaka

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kecewa dengan tindakan PKR dan DAP yang mengingkari arahannya supaya mengemukakan lebih 2 nama untuk dipertimbangkan sebagai calon menteri besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pada masa sama, baginda tidak menolak kemungkinan mempertimbangkan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lain daripada parti Pakatan Rakyat (PR) yangberkelayakan untuk dilantik memimpin negeri terkaya itu.

“Sultan Selangor amat merasa dukacita di atas tindakan parti DAP dan PKR yang ingkar terhadap titah baginda bertarikh 27 Ogos 2014.

“Tindakan parti DAP dan PKR ini menggambarkan kebiadapan kepada institusi raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada Sultan Selangor,” kata Sultan Selangor melalui kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Sulitnya Datuk Mohamad Munir Bani, hari ini.

Munir berkata, Sultan Selangor akan meneliti senarai calon yang dikemukakan PAS, PKR, dan DAP dan mengambil kira segala aspek sebelum keputusan dibuat.

“Dalam masa yang sama memandangkan kuasa melantik menteri besar Selangor terletak pada budi bicara Sultan Selangor, maka baginda juga akan meneliti nama-nama Adun yang lain daripada Pakatan Rakyat yang berkelayakan dan pada fikiran Sultan Selangor mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Negeri,” katanya.

Katanya, hanya PAS yang akur dengan titah Sultan Selangor dengan menyenaraikan 3 nama calon menteri besar Selangor.

Manakala DAP dan PKR masing-masing mengemukakan hanya 1 nama saja, iaitu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, titah baginda supaya mengemukakan senarai lebih 2 calon adalah amalan bagi membolehkan baginda membuat pilihan dengan melihat bukan saja sokongan majoriti Adun malah daripada segi kemahiran, pengalaman, integriti dan kebolehan seseorang Adun tersebut.

“Ciri ini amat penting bagi menjamin perjalanan pentadbiran negeri agar berjalan dengan baik dan lancar demi keharmonian rakyat negeri Selangor.

“Sultan Selangor berkeyakinan terdapat ramai calon dalam parti Pakatan Rakyat yang mempunyai ciri kepimpinan yang tinggi seperti disebutkan tadi bagi menerajui kerajaan negeri Selangor,” katanya.

Sultan Selangor pada 27 Ogos lalu menitahkan ketiga-tiga parti dalam PR mencadangkan lebih 2 nama sebagai calon menteri besar sebelum 3 September bagi memudahkannya membuat pilihan, namun DAP dan PKR bertegas mahu menghantar nama Dr Wan Azizah saja.

PKR pada 3 September kemudiannya menerima surat amaran daripada istana yang mengingatkan mereka supaya menghantar lebih 2 nama selain Dr Wan Azizah.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam penjelasan terbuka di Marang, Terengganu pada Jumaat minggu lalu berkata, keengganannya mengikut kata DAP dan PKR dan menghantar 3 nama adalah kerana tidak mahu ingkar titah Sultan sambil menegaskan parti itu menghormati prinsip Raja Berperlembagaan.