Adakah harga minyak di malaysia mahal?

  1. Jika dibandingkan dengan tujuh buah negara jiran di Asia Tenggara, harga petrol di Malaysia ialah yang kedua termurah. Negara Asia Tenggara yang mempunyai harga petrol paling mahal ialah Singapura dengan harga RM5.41 seliter bagi RON 95, diikuti Thailand (RM4.76), Filipina (RM3.67), Vietnam (RM3.80), Indonesia (RM3.38) dan yang paling murah ialah Brunei (RM1.35 untuk RON 97).
  2. Bagaimanapun, harga petrol di Malaysia tidaklah semurah di Brunei kerana negara berkenaan mampu memberikan subsidi yang lebih untuk petrol. Tidak seperti Malaysia, hampir keseluruhan pendapatan Brunei diperolehi daripada hasil pengeluaran minyak. Brunei juga memiliki populasi kecil yang tidak sampai pun jumlah populasi bandar Seremban, iaitu hanya 408,786. Malaysia sebaliknya memiliki populasi seramai 30.07 juta orang.

  3. Berdasarkan data Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) 2013, Brunei ialah negara kelima terkaya di dunia, satu tangga di atas Amerika Syarikat dalam senarai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada pariti kuasa beli (PKB) per kapita terbanyak.

  4. Malaysia hanya berada pada tangga ke-59 senarai ini. KDNK (PKB) ialah nilai kesemua keluaran (barangan dan perkhidmatan) sesebuah negara dalam setahun yang dibahagikan dengan jumlah penduduk negara tersebut.

  5. Pembahagian ini penting untuk perbandingan yang lebih tepat kerana sebagai contohnya walaupun pendapatan Malaysia lebih besar daripada Brunei, jumlah penduduk Malaysia juga ialah 68 kali ganda lebih besar. Maka KDNK (PKB) adalah ukuran yang lebih digemari oleh ahli-ahli ekonomi bagi membandingkan kebajikan per kapita dan keadaan hidup serta penggunaan sumber negara-negara.

  6. Malaysia sememangnya ialah negara pengeluar minyak, namun ia bukanlah pengeluar yang utama. Malaysia tidak pun layak untuk menganggotai Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) kerana ia lebih banyak mengimport minyak untuk kegunaan sendiri daripada mengeksportnya. Atas sebab yang sama juga, Indonesia terpaksa menarik diri daripada OPEC pada tahun 2008.

  7. Berdasarkan maklumat Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (EIA) 2013, Malaysia sekadar menduduki tempat ke-29 dalam senarai pengeluar minyak dunia dengan jumlah pengeluaran 693,700 tong sehari. Jika dibandingkan dengan sepuluh negara lain yang mengeluarkan antara 543,000 sehingga 1.13 juta tong minyak sehari, Malaysia memiliki harga petrol keempat termurah.

  8. Mengapa Malaysia sebagai sebuah negara pengeluar minyak, tidak menggunakan rizab minyak sepenuhnya bagi penggunaan domestik? Pada asasnya, Malaysia mengeluarkan minyak jenis tapis ‘blend’ namun minyak tersebut tidak digunakan dalam negeri kerana berkualiti tinggi serta harga lebih mahal dan lebih menguntungkan jika dieksport. Oleh itu, Malaysia mengimport minyak jenis lain yang harganya lebih rendah untuk kegunaan kenderaan dan industri tempatan.

  9. Selain itu, jika dibahagikan antara pengeluaran minyak tong sehari berbanding populasi Malaysia, (693,700 tong sehari / 30,073,000 orang) kita dapati nisbahnya terlalu sedikit iaitu 0.023 tong untuk setiap rakyat berbanding UAE (0.50), Qatar (0.74), dan Kuwait (0.97). Harga petrol di Venezuela ialah RM0.03 sen seliter tetapi mereka menghasilkan 2,300,000 tong minyak sehari.

  10. Tetapi Presiden negara itu, Nicolas Maduro berkata, dia memilih untuk menaikkan harga secara beransur-ansur setiap tiga tahun untuk membantu menangani krisis ekonomi negara. Negara yang minyaknya murah seperti Venezuela masih menderita dari segi ekonomi. Defisit, 54 peratus inflasi, kejatuhan mata wang, dan banyak lagi.

  11. “Oil Minister Rafael Ramirez declared that having the world’s cheapest gas isn’t a record to be proud of.” – menurut The Detroit News.

  12. Malaysia tidak mampu untuk menambah subsidi bagi menurunkan harga petrol kerana berdasarkan data Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), jumlah subsidi minyak Malaysia sudah pun yang tertinggi antara mana-mana negara Asia Tenggara, iaitu sebanyak 2.4 peratus daripada KDNK (jumlah kesemua subsidi untuk rakyat adalah 54% dari KDNK). Brunei, negara yang memiliki harga petrol terendah di Asia Tenggara pun sekadar membelanjakan 2.2 peratus sahaja daripada KDNK untuk subsidi minyak. Adalah perlu diingatkan bahawa KDNK Brunei jauh lebih kecil berbanding Malaysia.

  13. Pada November 2010, sidang kemuncak negara-negara ekonomi terbesar dunia, G20, yang diadakan di Seoul, Korea Selatan telah membuat deklarasi untuk menghentikan secara berperingkat (phase-out) subsidi minyak yang dikatakan tidak efisien dan menggalakkan pembaziran.

  14. Menurut IMF, subsidi minyak lebih banyak menguntungkan golongan kaya berbanding golongan miskin. Berdasarkan kertas kerjanya yang diterbitkan pada 2007, untuk setiap unit sumber yang digunakan oleh golongan miskin, 3 hingga 5 unit atau lebih digunakan oleh golongan lebih kaya. Kertas kerja berkenaan turut mencadangkan subsidi minyak dihapuskan. Perbelanjaan untuk subsidi kemudiannya boleh dialihkan kepada usaha penambahbaikan kualiti pendidikan, perkhidmatan kesihatan, infrastruktur dan mengurangkan cukai.

  15. Selain daripada itu, subsidi minyak juga dianggap sebagai antara penyebab kenaikan harga minyak dunia. Menurut Financial Times, subsidi melindungi pengguna daripada harga borong minyak yang tinggi, tetapi kemudiannya turut meningkatkan permintaan minyak sekali gus mendorong kenaikan harga borong. Antara negara yang dilihat mengakibatkan kenaikan harga minyak dunia ialah China.

  16. China yang merupakan negara terbesar di dunia (populasi 1.3 bilion orang), kini juga merupakan pasaran kereta terbesar di dunia (13.6 juta unit kereta dijual pada 2009) apabila mengatasi Amerika Syarikat (10.4 juta unit). Namun begitu, jumlah pengguna kereta yang sebegitu besar di China tidak perlu membayar harga sebenar untuk minyak, kerana mereka menerima subsidi 3.9 peratus daripada kos sebenar.

  17. Situasi ini sudah pasti akan menggalakkan pembaziran minyak, seterusnya meningkatkan permintaan untuk bekalan yang lebih. Bayangkan apabila berjuta-juta pengguna kereta di negara terbesar di dunia menuntut bekalan minyak yang lebih, tidakkah ia sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada harga minyak dunia? Apabila China menaikkan harga petrol sebanyak 20 peratus pada Jun 2008, harga minyak dunia serta-merta menurun AS$5 setong.

  18. Tekanan daripada G20 telah menyebabkan China mula mengambil langkah untuk mengurangkan subsidi. Harga produk-produk minyak telah diindekskan kepada harga-harga wajar minyak mentah antarabangsa pada 2008. Harga gas asli telah dinaikkan sebanyak 25 peratus pada Mei 2010, manakala tariff kuasa untuk industri intensif buruh telah dihapuskan.

  19. Ketika kuasa ekonomi dan politik gergasi seperti China pun terpaksa tunduk kepada realiti pasaran, malangnya terdapat ‘kuasa-kuasa kerdil’ dalam negara kononnya lebih bijak apabila menabur janji untuk mencipta keajaiban “menurunkan harga petrol serta-merta”. Apa yang lebih pelik, walaupun janji mereka ini langsung tidak berpijak di bumi nyata, berduyun-duyun orang mempercayai janji ini, termasuklah golongan terpelajar.

  20. Lihatlah betapa mudah janji ditabur oleh pihak yang tidak perlu memikul sebarang beban tanggungjawab untuk menjaga masa hadapan negara. Inilah conto