Ambiga dicabar kemuka bukti jika benar BTN semai perkauman

Penaung pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Negara-Ku, Datuk Ambiga Sreenevasan dicabar mendedahkan bukti mengenai dakwaannya bahawa modul digunakan dalam Biro Tata Negara (BTN) menjadi sesi untuk membasuh otak kaum Melayu agar menjadi rasis dan pentaksub.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Rahim berkata tidak adil untuk Ambiga mendakwa BTN dengan tuduhan seumpama itu sedangkan beliau tidak pernah mengikuti mana-mana kursus anjuran agensi berkenaan.

Katanya, sebagai pemimpin yang bertanggungjawab, Ambiga seharusnya membuat penilaian berdasarkan fakta bukannya atas sentimen peribadi dan beliau sedia memberikan penjelasan mengenai modul kursus yang dijalankan.

Beliau berkata jika benar BTN yang bertanggungjawab menganjurkan kursus bagi menanam dan menyemai semangat patriotisme dan nasionalisme dalam kalangan peserta terpesong daripada matlamat asal, sudah tentu maklumat itu disebarkan oleh peserta yang mengikuti kursus berkenaan.

“Oleh itu, saya menyarankan Ambiga menghadiri mana-mana kursus anjuran BTN sebelum membuat kenyataan sedemikian kerana kenyataan itu bukan hanya menimbulkan keresahan, malah mengguris hati orang Melayu terutama petugas BTN.

“Saya tidak pasti apa motif Ambiga membangkitkan isu ini sedangkan ada kursus atau perbincangan yang diadakan dalam negara dan berbaur perkauman tidak pula dibangkitkan,” katanya ketika dihubungi.

Pengerusi Pertubuhan Pemikir Muslim Pulau Pinang, Mohamad Nor Suhaili Jamali berkata, kenyataan Ambiga itu bersifat fitnah semata-mata selain ingin mewujudkan perasaan benci rakyat terhadap BTN.

Menurutnya, kenyataan itu juga dangkal kerana tidak disokong dengan mana-mana bukti konkrit dan sebagai pengamal undang-undang, Ambiga seharusnya bersikap waras dalam mengeluarkan apa-apa kenyataan.

“Ambiga dilihat tidak matang dalam mengutarakan pendapat terhadap institusi kerajaan seperti BTN kerana badan itu selama ini banyak memupuk semangat patriotisme rakyat dalam memastikan matlamat dan dasar kerajaan disampai dengan tepat.

“Peguam itu tidak wajar mencari publisiti murahan dalam hal ini serta menjadikan BTN sebagai kambing hitam untuk memburukkan institusi kerajaan,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Menurutnya, Ambiga harus merasa malu pada diri sendiri kerana sebagai warganegara beliau tidak meninggalkan impak dalam memupuk semangat patriotik dalam dirinya sendiri.

Ambiga sebelum ini dipetik dalam sebuah portal menyebut BTN hanya sekadar menjadi sesi untuk membasuh otak kaum Melayu agar menjadi rasis dan pentaksub.