Azmin Lebih Suka Anwar Dipenjara – Badrul Hisyam Saharin

Menteri Besar Selangor, Mohamad Azmin Ali lebih suka Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara, lapor Malaysia Gazette yang memetik kata-kata CheguBard dalam sidang media hari ini.

CheguBard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Saharin dilaporkan Malaysia Gazette berkata jika Anwar kembali dipenjarakan, pada saat itu Azmin akan merampas pucuk pimpinan PKR.

Aktivis PKR yang kini digantung parti, CheguBard mendakwa Azmin sudah bersedia untuk itu termasuk menyediakan kader-kadernya dipelbagai jawatan parti wakil di negeri-negeri.

Beliau mendakwa jika ia berlaku, CheguBard tidak menolak kemungkinan berlaku ‘pembunuhan politik’ beramai-ramai dalam PKR oleh kartel yang diketuai Azmin.

“Bukanlah rahsia Timbalan Presiden PKR (Azmin) sedang memperkukuhkan kedudukan bagi mengambil alih parti dan hanya menanti keputusan kes memenjarakan Anwar.

“Orang-orangnya disusun dari peringkat tinggi hingga ke peringkat cabang. Ramai dalam parti sudah sedar bagaimana dia menyasarkan kerusi presiden dalam pemilihan lepas dan hanya berundur setelah Anwar sendiri turut menghantar borang pencalonan.

“Bayangkan jika keputusan membebaskan Anwar maka ia seolah-olah anti klimaks kepada kartel Azmin ini,” ujarnya.

Menurutnya, ‘pembunuhan’ beramai-ramai itu tidak mustahil dilakukan Azmin sekiranya dilihat pada kelicikannya melobi jawatan Menteri Besar Selangor sehingga meminggirkan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

CheguBard yang turut dilaporkan Astro Awani turut mempertikai ‘keistimewaan’ yang dimiliki Azmin dalam parti itu.

Dengan mengambil situasinya yang digantung keahliannya kerana mendedahkan penyelewengan pemilihan parti yang berkait dengan Azmin, Menteri Besar Selangor itu dilihat lebih disayangi di dalam situasi yang disifatkan sama dengannya.

“Saya jawab tuduhan dengan menggunakan media dan digantung. Apabila anggota bawahan menggunakan media dianggap salah.

“Tetapi apabila Azmin menggunakan media dan menyerang Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail … tiada sebarang tindakan dibuat.

“Kalau hendak ambil tindakan ke atas saya, sila ambil tindakan kepada Azmin dahulu,” katanya

Chegubard yang juga Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendakwa kemelut pertukaran MB Selangor turut dilihat berpunca daripada Azmin sendiri.

“Memang sejak awal dia impikan jawatan itu, dia yang menyusun sentimen mempertikaikan pentadbiran menteri besar sebelum ini.

“Azmin yang menggunakan media dan memulakan serangan peribadi kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan melobi untuk jawatan itu,” ujarnya.