Ini negara Malaysia, bukan ‘Bolehland’

Saya telah memantau komen dan posting di Facebook dan Twitter dan saya dapat melihat bahawa jurang antara kaum dan agama sudah semakin melampau dan tidak boleh diperbaiki. Malaysia kini bersedia untuk ledakan ’13 Mei’ versi ke 2.

Rakyat Malaysia sudah tidak lagi mengambil berat apa yang mereka katakan sama ada apa yang mereka katakan itu menyinggung atau menyakiti perasaan orang lain. Cina dan India, dan beberapa orang Melayu juga, tidak lagi mahu menunjukkan rasa hormat kepada negara sendiri dengan menyebut nama Malaysia. Mereka lebih rela menggelarkan ia ‘Bolehland’.

Saya tertanya-tanya bagaimana rakyat Perancis akan rasa jika anda memanggil Perancis ‘Frogland’ atau bagaimana rakyat Singapura akan rasa jika anda memanggil negara pulau mereka ‘Kiasuland’? Anda mungkin akan ditumbuk di muka, sebagaima saya ingin bertindak begitu kepada mereka yang tidak menunjukkan rasa hormat kepada negara sendiri dengan memanggil Malaysia, ‘Bolehland’.

Warga Eropah (atau warga Asia Tenggara yang lain) boleh berasa marah dengan kerajaan atau dengan ahli-ahli politik mereka. Tetapi mereka adalah rakyat yang setia pada negara mereka sendiri dan bangga dengan negara mereka dan bendera mereka. Rakyat Malaysia, khususnya orang Cina dan India, tidak kelihatan mempunyai sifat-sifat berkenaan.

Pepatah melayu berkata ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’. Anda mungkin membenci Umno atau Barisan Nasional, tetapi anda menyerang Malaysia, orang Melayu, umat Islam, dan agama Islam untuk melepaskan kemarahan dan kekecewaan anda. Adakah ianya tindakan yang betul jika mereka yang tidak menyokong DAP, menyerang keseluruhan kaum Cina? Oleh itu, kenapa ianya tindakan yang betul bagi mereka yang marahkan Umno, untuk lepaskan kemarahan dan mengejek negara mereka sendiri, orang-orang Melayu, orang-orang Islam dan agama Islam?

Cara sebahagian dari kamu bercakap seolah-olah Malaysia adalah negara yang lain dan bukan negara anda. Anda mempermainkan Malaysia dan menyerang Malaysia seumpama bagaimana China memandang Jepun atau Korea Utara memandang Korea Selatan.

Adakah anda mengatakan bahawa Malaysia adalah Melayu-Islam dan oleh kerana anda bukan Melayu-Islam maka Malaysia adalah musuh anda? Ramai di kalangan anda menghina orang Melayu, umat Islam dan agama Islam. Itu, adalah sangat jelas dari komen dan posting anda dalam media sosial.

Kebanyakan orang Melayu amat sedar bahawa bukan Melayu tidak menyukai mereka dan agama mereka. Mesej ini adalah sangat jelas dan tidak ada kekeliruan tentang apa makna mesej itu. Walau bagaimanapun, sebanyak mana pun bukan Melayu boleh membenci orang Melayu, umat Islam dan Islam, kita sekurang-kurangnya mengharapkan bukan Melayu untuk mencintai negara mereka dan tidak menunjukkan begitu tinggi kebencian pada negara mereka sendiri.

Saya rasa kini masanya bukan Melayu dan bukan Islam memikirkan mengenai siapakah musuh sebenar. Penganut Kristian sering memperingati tentang bagaimana Jesus mengajar kita untuk membenci dosa itu tetapi menyayangi orang yang melakukannya. Ajaran Kristian adalah tentang kasih sayang, jelas para penganutnya. Tetapi kita boleh melihat mereka tidak mempraktikkan Kristian apabila mereka bukan sahaja menghina orang yang melakukan ‘dosa’ malah mereka juga membenci orang-orang yang tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan kepada mereka.

Adakah 18 juta orang Melayu berdosa terhadap anda? Malah jika 3 juta orang Melayu (dengan mengambil kira jumlah keahlian Umno) lakukan dosa terhadap kamu, mengapa kamu menghina 15 juta orang Melayu lain yang tidak melakukan apa-apa kesalahan terhadap anda? Dan inikah yang kamu katakan kepada saya tentang ajaran Jesus, tentang mengasihi?

Di mana sifat kasih sayang? Anda hanya menunjukkan kebencian. Dan anda menunjukkan kebencian terhadap negara tempat anda dilahirkan hanya kerana anda tidak menyukai parti politik tertentu.

Kerosakan serius telah terjadi pada hubungan antara kaum di Malaysia. Dan masalahnya ialah, kerosakkannya begitu teruk dan hingga setakat ini, perdamaian hampir mustahil. Jadi apa jalan penyelesaiannya dari sini? Adakah kita akan menyelesaikan perbezaan kita di jalanraya? Cara kita bertindak kelihatan seperti tidak ada cara lain untuk menyelesaikan perbezaan antara kita.

Kita tidak boleh lagi mengesan siapa mangsa dan siapa pemangsa. Kedua-dua pihak sama-sama agresif dan seperti inginkan pergaduhan. Akhirnya, pemenang adalah kumpulan yang mempunyai lebih banyak senjata. Jika yang sedemikian keadaannya, akan ada mangsa dari kedua-dua belah pihak.

Berhati-hati dengan apa yang anda pinta kerana anda mungkin tidak suka apa yang akan anda terima. Berhenti berpura-pura menjadi mangsa bila anda sendiri sama-sama bersalah memprovokasi ketegangan kaum dan agama.


Diterjemah dari artikel oleh Raja Petra Kamarudin : ARTIKEL