Lim Guan Eng cemar nama Khalifah Umar Abdul Aziz

PAS Wilayah Persekutuan (WP) membidas tindakan pentadbiran Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang menggantung ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Iszuree Ibrahim berhubung isu pembangunan di negeri itu.

Pesuruhjaya PAS WP Mohamad Noor Mohamad menyifatkan tindakan menggantung bendahari PAS Pulau Pinang itu dalam jawatankuasa tetap MPPP, bertentangan dengan sikap Khalifah Umar Abdul Aziz yang menitikberatkan kebebasan bersuara.

Lim yang juga setiausaha agung DAP sebelum ini kerap memetik nama khalifah itu sebagai panduan buatnya dalam mentadbir Pulau Pinang.

“Ia bukan sahaja jelas tidak menggambarkan kepimpinan sebenar Khalifah Umar Abdul Aziz bahkan mencemarkan nama baik khalifah agung tersebut.

“Tidak sepatutnya teguran rakan Pakatan Rakyat dianggap sebagai satu tikaman daripada musuh,” katanya yang meluahkan rasa terkilan dan dukacita dengan tindakan itu.

“Khalifah Umar Abdul Aziz merupakan seorang khalifah yang amat menitik beratkan kebebasan mengutarakan pandangan sewaktu era pemerintahan beliau.

“Saudara Iszuree hanya menyuarakan pandangannya untuk kebaikan masa depan penduduk dan rakyat Pulau Pinang,” kata Mohamad lagi dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Mohamad menggesa Lim agar menarik balik penggantungan dan pembekuan peruntukan yang dikenakan terhadap Iszuree demi melaksanakan pemerintahan yang “cekap, akauntabiliti dan telus”.