Mat Sabu tak sangka Anwar berkawan dengan Taukeh-Taukeh Judi Bajet, 1993

Ucapan Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Mohamad Sabu, yang juga Ahli Parlimen Nilam Puri ketika beliau membahaskan Belanjawan 1993 pada 12 November 1992 :

Saya mengalu-alukan Belanjawan ini yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan yang dahulunya menjadi sahabat karib kami dalam Angkatan Belia Islam Malaysia. Walaupun kami daripada PAS mengharapkan sangat-sangat dahulunya beliau akan menyertai PAS sebab pada tahun 1978 ketika PAS kalah teruk di negeri Kelantan, beliau di antara orang yang bekerja kuat untuk PAS di Kelantan dengan semangat yang diberikan kepada kami, anak-anak muda sama ada di kampus ataupun baru lepas daripada kampus dengan alasan mengatakan bahawa satu-satunya parti Islam yang ada di Asia Tenggara adalah PAS. Itulah semangat Presiden ABIM tahun 1978 yang masih berkobar-kobar dalam jiwa kami anak-anak muda di waktu itu.

Kemudian beliau sendiri mengepalai jentera daripada pelajar berkempen berhempas-pulas. Akhirnya, PAS tidak dapat diselamatkan memerintah negeri Kelantan, tinggal dua kerusi batu nesan. Sekali lagi kami anak-anak muda selepas PAS kalah teruk, balik ke Kuala Lumpur terus ambil borang menyertai PAS di atas saranan, pandangan dan arahan Presiden Angkatan Belia Islam di waktu itu. Setelah kami Datuk Asri Haji Muda tiba-tiba pada tahun 1982 beliau mengambil keputusan menyertai Umno.

Lututku bergegar di waktu itu. Apakah selama ini arahan ataupun pandangan tahun 1978 itu hanyalah tiupan sementara kepada anak-anak mud yang ingin melihat Islam dan perlaksanaan Islam terserlah di Malaysia dengan menyertai PAS. Walaupun ada di antara kawan-kawan dalam ABIM mengalirkan air mata kerana beliau mengambil keputusan menyertai Umno tetapi dihati kecil mereka tetap mendoakan, al-Sheikh Anwar Ibrahim ‘insan kamil lagi mutakamil’.

Selamat belayar dan memimpin Umno pada satu hari nanti untuk memimpin umat Islam ke jalan yang pernah diucapkan semasa menjadi Presiden ABIM. Walaupun hati kecil luka di atas sikap beliau menyertai Umno tetapi hati kecil kami tetap berdoa semoga beliau berjaya.

Harapan kami itu sekarang ini semakin berkecai. Setelah 1982 – 1992, sepuluh tahun menyertai Umno ucapan-ucapannya semasa memberangsangkan kami menyertai PAS dahulu semakin jauh bahkan dalam ucapan Belanjawan ini sanggup beliau mengutuk dengan mengatakan ulamak-ulamak kolot, berfikiran jumud, sedangkan beliau sendiri naik ke atas pentas melalui ulamak-ulamak jumud ini.

Apakah beliau berbangga sekarang setelah menjadi kawan VINCENT TAN, kawan kepada ANANDA KRISHNAN? Boleh naik kapal terbang yang disewa oleh Vincent Tan maka beliau telah menganggap kawan-kawannya dahulu jumud, kawan-kawannya dahulu berfikiran tidak waras dan sempit?

Kalau inilah lagak beliau untuk masa hadapan maka harapan kami semakin tipis. Dan yang paling penting imej Islam yang ada cuba dibawa oleh beliau ke dalam Umno barangkali akan hancur berkecai apabila dilihat oleh orang-orang Umno sendiri.

Ini termasuk mereka yang berfikiran sekular dalam Umno, apabila melihat gelagat beliau, mereka mengatakan kami tidak sangka akhirnya ia berkawan rapat dengan taukeh-taukeh judi. Inilah Menteri Kewangan yang saya sayangi dahulunya dan sekarang telah menjadi sedemikian rupa.


Dipetik dari tulisan Ahmad Lutfi Othman, Ketua Pengarang Harakah bertajuk Darah Anwar dalam PAS? dari buku Memo buat bakal PM, 1993.