Pakatan cadang Inheritance Tax dan Capital Gains Tax ganti GST

Walaupun saya menyokong penuh mengenai cadangan Cukai Warisan Harta (Inheritance Tax) dan memberi sokongan bersyarat kepada Cukai Keuntungan Modal bagi Ekuiti (Capital Gains Tax) dari Pakatan, saya tidak bersetuju bahawa kedua-dua cukai dikenakan bagi menggantikan GST.

Mengecewakan, Pakatan telah gagal melihat untuk apa dilaksanakan GST. Pelaksanaan GST bukan semata-mata untuk meningkatkan hasil kutipan cukai Kerajaan.

Jika Kerajaan hanya mahu meningkatkan kutipan cukai, Kerajaan boleh saja berhenti dari mengurangkan kadar cukai pendapatan dan cukai korporat seperti yang telah dilakukannya sejak 5 tahun kebelakangan ini atau bahkan hanya meningkatkan kadar cukai jualan dan perkhidmatan yang sedia ada.

GST adalah untuk memodenkan sistem cukai kita dan juga menyelaras beban cukai kepada lebih ramai rakyat Malaysia yang selama ini lepas dari cukai dan tidak membayarnya secara adil. Apakah ADIL bahawa 6% daripada rakyat Malaysia membayar cukai untuk 97% rakyat selebihnya?

GST juga adalah untuk membolehkan Malaysia mengurangkan cukai pendapatan peribadi dan cukai korporat supaya kadar cukai kita sejajar dengan negara-negara jiran yang mempunyai kadar yang jauh lebih rendah daripada Malaysia kini. Ini akan menarik pelaburan asing dan menggalakkan pelaburan dalam negara yang membantu mengembangkan ekonomi dan keusahawanan di negara kita.

Pelaksanaan GST yang sememangnya mempunyai sistem pemantauan, bersama dengan kadar cukai korporat yang lebih rendah, Malaysia juga akan dapat meminimumkan manipulasi penetapan harga dagangan (trade mispricing) – yang mana puak Pakatan sering katakan ‘aliran keluar wang haram’ dan teriak Malaysia rasuah!

Dengan meminimumkan manipulasi penetapan harga dagangan, Kerajaan juga akan dapat mengutip cukai yang berhak dan sepatutnya ke atas keuntungan daripada eksport bukan membiarkan negara lain mendapat manfaat daripadanya.

Oleh itu, sekarang GST MESTI menjadi keutamaan, bukannya memperkenalkan cukai lain yang hanya ada untuk mendapatkan pendapatan kepada Kerajaan kerana GST adalah lebih daripada sekadar membuat lebih banyak wang untuk Kerajaan.

Saya menyokong Cukai Warisan Harta kerana ia adalah cukai yang baik (dan juga kerana saya tidak kaya dan tidak mungkin terjejas banyak olehnya) kerana ia menggalakkan golongan kaya untuk berbelanja atau menderma kepada badan amal untuk minimakan jumlah yang boleh dikenakan cukai kepada anak-anak mereka. Cukai Warisan Harta ini perlu dikaji sekarang dan dilaksanakan tahun depan.

Bagi Cukai Keuntungan Modal pula, kita sudah laksanakan untuk urus niaga hartanah tetapi tidak untuk saham dan ekuiti. Kita tidak harus kenakan CGT pada saham buat masa sekarang kerana kita masih membangunkan pasaran ekuiti dan bon lantas sebarang cukai CGT akan mengurangkan galakkan pelabur dan penyertaan asing serta meningkatkan kos pinjaman dan dana kita.

Dan pada Rafizi yang mengatakan bahawa lebih daripada 100 negara di seluruh dunia termasuk UK mempunyai CGT dan berkata angka ini juga adalah sebab yang sama digunakan oleh Putrajaya untuk memperkenalkan GST, sila ambil perhatian bahawa lebih 100 buah negara di dunia yang mempunyai CGT JUGA akan mempunyai GST.

Oleh itu Rafizi, alasan dan ‘cucukkan’ anda agak pincang.

GST dahulu. Selebihnya boleh datang kemudian.


Tulisan Lim Sian See yang diterjemah sebaik mungkin: LINK