Pernahkah Kita Cuba Merasai Keluh-Kesah Anak-anak Anggota Polis Yang Terpaksa Memendam Rasa Tatkala Membaca Cacian Dan Makian Terhadap Ibu Bapa Mereka?

Siapa sahaja apabila melihat ‘orang jahat’ pasti teringatkan polis. Semasa terperangkap dalam kesesakan jalan raya yang kronik, pasti terpacul daripada mulut, ‘alangkah moleknya jika ada polis trafik. Ini adalah hakikat, sehinggakan segelintir penduduk yang tanpa sayang mulut menghina dan mencaci polis tetapi apabila diancam, polis juga yang akan dicari.

Secara kasarnya polis atau pasukan keselamatan negara dianggap seperti mesin – digunakan apabila diperlukan, diketuk-ketuk apabila mesin ini gagal berfungsi. Apabila ditegur, dijawab balik, itulah tugas polis, siapa suruh kerja sebagai polis!

Polis adalah manusia istimewa kerana bukan semua rakyat negara ini sanggup mengorbankan jiwa dan raga demi keamanan negara, tetapi mereka sanggup melakukannya meskipun sedar tentang bahaya mendatang.

Pernahkah sesiapa terfikir, keamanan yang dinikmati sekarang hingga membolehkan kita semua tidur lena pada waktu malam, bebas menjalankan rutin seharian tanpa takut diancam semuanya adalah berkat komitmen polis bersengkang mata menjaga keamanan negara.

Namun begitu, pernahkah kita mengucapkan ribuan terima kasih atau sekurang-kurangnya mengambil tahu mengenai kebajikan keluarga pahlawan negara itu yang ditinggalkan semasa mereka keluar bertugas menyabung nyawa tanpa mengira siang dan malam demi memastikan hidup ‘Ali, Ah Chong dan Ramasamy’ berjalan lancar.

Pernahkah kita cuba merasai keluh-kesah anak-anak anggota polis yang terpaksa memendam rasa tatkala membaca cacian dan makian terhadap ibu bapa mereka. Siapa yang pantau ulang kaji mereka semasa ingin menempuh peperiksaan, tatkala ibu bapa lain setia menemani anak-anak mereka. Penulis percaya anak-anak yang sudah mampu menelan situasi itu tidak kisah dan jauh sekali meminta simpati orang lain.

Tidak salah dikatakan bahawa terlalu kurang badan-badan korporat atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengkhususkan aktiviti mereka untuk ‘menjaga tepi kain’ anak-anak polis ini, jika ada sekalipun jumlahnya amat sedikit.

Jika ramai di kalangan peguam-peguam hebat membela setiap penjenayah yang ditangkap dan ditembak mati, di mana mereka apabila ada polis yang terkorban kerana melindungi keselamatan awam?

Terima kasih Polis Diraja Malaysia.