PKR Harus Keluar Dari Kerangka Anwar-Centric – Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR

Menteri Besar Selangor berkata PKR harus bergerak ke hadapan dan keluar dari kerangka Anwar-centric untuk memastikan parti itu kekal relevan pada masa hadapan.

“Saya tidak mahu meramalkan apa yang berlaku pada 28 Oktober tetapi berharap mahkamah melihat fakta-fakta kes sebelum membuat keputusan.

“Tetapi apapun yang berlaku sekarang, perjuangan akan diteruskan. ini bukan perjuangan seorang insan tetapi perjuangan rakyat iaitu satu isu keadilan,”kata Azmin dalam wawancara eksklusif yang disiarkan akhbar Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan apakah keputusan mahkamah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan kes liwatnya nanti akan menjejaskan penjuangan Pakatan Rakyat.

“Memang sebelum ini, ada andaian Parti Keadilan ini adalah Anwar centric-party. Memang pada 1998/99, kita memperjuangkan untuk kebebasan Anwar kerana beliau adalah simbol kezaliman dan rakyat bangkit dengan gerakan yang cukup besar dalam negara.

“Benar pada awalnya, kita perjuangkan Anwar tetapi selepas itu kita membincangkan isu-isu besar tentang keadilan rakyat,” katanya.

Menyentuh tentang cadangan PKR melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar tidak berjaya sebaliknya beliau yang dilantik mengambil alih jawatan tersebut, Azmin berkata ia merupakan sebahagian proses demokrasi.

“Saya bukan baru dalam perjuangan reformasi. Saya bersama (Datuk Seri) Wan Azizah dalam gerakan reformasi sejak 1988 sehinggalah PR berkembang sehingga hari ini.

“Pelantikan yang diputuskan ini adalah mandat dari parti dan keputusan telah dibuat dan saya bersyukur krisis MB ini berakhir. Ramai yang menjangkakan krisis ini akan berlanjutan malah ramai yang terkejut termasuk juga rakan saya dari pihak yang di sebelah sana, mereka terkejut kerana krisis ini diselesaikan dalam keadaan harmoni.

“Sememangnya terdapat sedikit pandangan berbeza di kalangan kami, tetapi apa yang berlaku adalah sebahagian dari proses demokrasi, ” katanya lagi.