Rasionalisasi Subsidi Minyak Bermula

RASIONALISASI SUBSIDI PETROL RON95 DAN DIESEL (EMBARGO SEHINGGA 6.15 PETANG, 1 OKTOBER 2014)

  1. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini ingin mengumumkan bahawa subsidi untuk petrol RON95 dan diesel dikurangkan sebanyak 20 sen seliter. Dengan ini, harga runcit baru bagi petrol RON95 adalah RM2.30 seliter dan diesel sebanyak RM2.20 seliter, berkuatkuasa 12.01 pagi, 2 Oktober 2014.

  2. Pada masa ini, harga pasaran bagi petrol RON95 adalah RM2.58 seliter dan harga diesel adalah RM2.52 seliter. Walaupun dengan pengurangan kadar subsidi ini, Kerajaan menganggarkan masih perlu membelanjakan lebih RM21 bilion bagi subsidi petrol RON95, diesel dan LPG untuk tahun 2014.

  3. Langkah ini adalah selaras dengan dasar rasionalisasi subsidi Kerajaan dalam memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh. Kerajaan juga dijangka dapat mengurangkan ketirisan dan aktiviti penyeludupan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Pemberian subsidi perlu lebih bersasar dan tidak secara pukal di mana bukan warganegara Malaysia termasuk pelancong asing turut menikmati subsidi yang diberikan oleh Kerajaan. Langkah-langkah ini dapat menghasilkan penjimatan yang setimpal dan boleh digunakan untuk perbelanjaan yang lebih produktif seperti pembangunan pendidikan dan latihan, kesihatan, sistem pengangkutan awam yang lebih meluas dan cekap serta peningkatan keselamatan negara.

  4. Selain itu, Kerajaan akan memastikan langkah rasionalisasi subsidi dilaksanakan dengan berhati-hati dan secara berperingkat bagi memastikan kesan yang minimum kepada ekonomi dan tidak membebankan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

  5. Langkah ini dilaksanakan bagi memastikan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan terus kukuh dan berada pada landasan yang tepat bagi mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat dari 3.9% daripada KDNK pada 2013 kepada 3.5% pada 2014 dan 3.0% pada 2015 dan seterusnya mencapai sasaran bajet berimbang pada tahun 2020.

  6. Berikutan langkah rasionalisasi subsidi ini, Kerajaan sedar bahawa ia akan memberi kesan kepada ekonomi dan masyarakat. Oleh itu, Kerajaan akan terus menyediakan pelbagai bantuan dan insentif untuk meringankan bebas terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Sehubungan ini, salah satu langkah yang akan diambil oleh Kerajaan adalah untuk menaikkan kadar pemberian BR1M yang akan diumumkan dalam bajet 2015 kelak. Langkah-langkah lain yang turut dipertimbangkan oleh Kerajaan dalam bajet 2015 termasuk meneruskan bantuan persekolahan, subsidi harga rumah serta insentif percukaian. Selain itu, Kerajaan akan memastikan barangan keperluan harian dijual pada harga berpatutan dan mengambil tindakan tegas ke atas golongan yang mengaut keuntungan secara berlebihan.

  7. Langkah rasionalisasi subsidi ini merupakan sebahagian daripada usaha mentransformasi ekonomi negara menjadi negara maju berpendapatan tinggi. Kerajaan yakin langkah ini akan mengukuhkan lagi asas kewangan dan ekonomi negara bagi menghadapi cabaran ekonomi global serta memastikan kemakmuran Negara dalam jangka panjang.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan,
1 Oktober 2014.