Respon kepada Rasionalisasi Subsidi Minyak

  1. Sejak tahun 2000 hingga sekarang, harga petrol RON92/95 bersubsidi di Malaysia telah meningkat sebanyak 92% manakala harga minyak mentah dunia meningkat sebanyak 276%.
  2. Subsidi merupakan merupakan wang yang dibayar oleh kerajaan kepada perbadanan tertentu bertujuan untuk menstabil atau menurunkan harga berbanding harga pasaran sesuatu barangan dan perkhidmatan agar mampu dinikmati oleh rakyat yang memerlukan.

  3. Kita kena menerima hakikat, jumlah penggunaan bahan api petrol dan diesel sentiasa meningkat jika dilihat dari statistik sejak 1980 hingga sekarang. Dengan peralihan masa jumlah subsidi semakin meningkat dan subsidi menyeluruh yang tinggi tidak dapat ditampung dalam jangka panjang.

  4. Secara logiknya, mana-mana kerajaan di dalam dunia pasti melakukan tindakan rasionalisasi subsidi kerana tanggungan subsidi semakin meningkat sejajar dengan peningkatan pengguna dan jumlah kenderaan dan yang terbaru, Presiden Indonesia juga mengumumkan pengurangan subsidi petrol dan ia perkara yang tidak boleh dielakkan.

  5. Subsidi bahan api merupakan komponen terbesar subsidi kerajaan. Ia bertujuan melindungi pengguna namun ianya telah meningkat dengan mendadak serta memberi kesan terhadap perbelanjaan kerajaan.

  6. Pelaksanaan berkala program rasionalisasi subsidi Malaysia sudah bermula sejak 16 Julai 2010. Program subsidi pada masa ini menjadi tidak lagi efektif dalam membantu mereka yang benar-benar memerlukannya dengan terlalu banyak kemudahan mengalir kepada golongan kaya, warga asing dan perniagaan besar.

  7. Sebahagian besar subsidi ini menguntungkan pihak yang salah dan tidak cukup membantu mereka yang memerlukan. Warga asing dan golongan kaya mendapat manfaat sama rata, mereka yang memandu kereta import menerima subsidi sama dengan orang menunggang motosikal atau memandu kancil.

  8. Lebih 2/3 subsidi bahan api dipelopori golongan pertengahan, berpendapatan tinggi serta warga asing manakala kurang daripada 1/3 dapat dimanfaatkan golongan yang memerlukan harga lebih murah.

  9. Kira-kira 70 peratus subsidi LPG disalahgunakan oleh bisness bukannya isi rumah, bermakna sebahagian besar perbelanjaan kerajaan terhadap LPG tersalah arah.

  10. Walaubagaimanapun, harga bahan api di Malaysia masih termurah di rantau ini.

  11. Semua orang berhak memberikan pandangan dan rungutan, tetapi fokus kami tertumpu pada tindakan tegas untuk mengawal peningkatan harga barangan kesan dari ‘ripple effect’ pengurangan subsidi bahan api ini.

  12. Pengguna harus menggunakan ‘kuasa pengguna’ yang ada untuk menekan kapitalis-kapitalis yang pastinya akan mengambil kesempatan. Pengguna juga harus proaktif melaporkan sebarang kenaikan harga yang melampau. KPDNKK wajib mainkan peranan.

  13. Mengapa sekarang dirasakan masa yang sesuai untuk mengurangkan lagi subsidi bahan api di kala Hari Raya Aidiladha sudah hampir? Adakah ini satu taktik supaya kemarahan rakyat boleh reda apabila terdapat pengumuman ‘habuan manis’ di pembentangan Bajet 2015 nanti?

  14. Kerajaan juga harus pantas mencari solusi yang efektif dalam memberikan subsidi bersasar jika merasakan sistem subsidi bahan api yang wujud sekarang tidak cekap dan tepat malah membazir. Mustahil rakyat akan memanfaatkan bantuan tunai ‘one off’ seperti BR1M untuk menampung kos bahan api sepanjang tahun.

  15. Rakyat juga akan menilai dan memerhati, ke mana perginya 20 sen yang ‘dijimatkan’ itu.

  16. Mungkin pihak Kerajaan mempunyai rancangan yang lebih baik tetapi corak penyampaian yang salah dan lemah.

Maaf jika tulisan ini tidak menepati ‘citarasa’ anda.