Tun Hamid dedah Anwar tidak mahu dibicarakan oleh beliau kerana beliau orang Pak Lah

Tun Abdul Hamid Mohammad adalah salah seorang daripada 2 orang Hakim Mahkamah Persekutuan yang membebaskan Anwar Ibrahim daripada sabitan kesalahan meliwat Azizan Abu Bakar pada tahun 2004.

Beliau yang mengetuai sidang yang mengumumkan keputusan majoriti tersebut, bagaimanapun mengingatkan orang awam supaya membaca terlebih dahulu keseluruhan alasan penghakiman sebelum membuat sebarang komen.

Berikut adalah petikan artikel beliau dalam DARI SAWAH KE ISTANA KEHAKIMAN:



Saya berkhidmat dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan selama 21 tahun. Dalan tempoh itu saya berkhidmat sebagai Majistret, Presiden Mahkamah Sesyen, Penolong Pengarah Biro Bantuan Guaman, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Penasihat Undang-Undang Negeri, Peguam Kanan Persekutuan di Jabatan Hasil Dalam Negeri dan Ketua Bahagian Pendakwaan sebelum saya dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman (1990).

Dalam tempoh tersebut saya berkhidmat selama tujuh tahun di bawah Tun Mohamed Suffian dan Raja Azlan Shah. Pengajaran daripada Tun Mohamed Suffian ialah “humility, honesty and clarity”.

Katanya kepada saya: “If you can choose between a simple word and a bombastic word, choose a simple word. If you can choose between a short sentence and a long sentence, choose a short sentence. If
you have any doubt, delete.” Pengajaran daripada Raja Azlan Shah ialah: “If you have no time, make time!”

Dalam tahun 2002, saya dilantik menjadi Hakim Mahkamah Tinggi diikuti dengan Hakim Mahkamah Rayuan (2000) dan Hakim Mahkamah Persekutuan (2003).

Dalam tahun 2004, saya dikehendaki mempengerusikan Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan kes liwat Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Di hari pertama, peguam beliau mengusulkan supaya saya menarik diri daripada membicara kes itu atas alasan besar kemungkinan saya akan berat sebelah. Saya menolak. Dato’ Seri Anwar Ibrahim bangun dan dengan suara yang lantang “mengutuk” saya di mahkamah terbuka. Tetapi, selepas itu sehingga hari saya menyampaikan penghakiman, beliau diam. Beliau hanya mendengar dan mengambil nota.

Dua hari sebelum penghakiman di sampaikan, pemandu saya meletak jawatan dengan serta merta. Malam itu cermin tingkap dua buah kereta anak-anak saya (cuma Kancil dan Iswara buruk sahaja) kena pecah. Tingkap dapur rumah saya juga kena kopak. Tetapi tidak ada barang-barang yang hilang.

Dua hari selepas itu saya memandu sendiri dari Gombak ke Putrajaya dan menyampaikan penghakiman saya. Apabila saya selesai membaca penghakiman saya dan membebaskan beliau, beliau bangun dan berkata, “My Lord, Thank you. May God bless you. That is all I want to say.”

Perlu ditekankan di sini. Apabila seorang hakim membicarakan sesuatu kes, beliau mestilah membuat keputusan berdasarkan fakta yang dikemukakan di mahkamah dan undang-undang yang berkenaan, bukan sama ada beliau percaya kejadian itu berlaku atau tidak.

Saya bagi satu misalan. Seorang lelaki balik ke rumahnya dan mendapati isterinya sedang berzina dengan seorang lelaki lain. Di atas keterangan si suami itu sahaja, bolehkah seorang hakim manjatuhkan hukuman hudud, walau pun hakim itu percaya cerita si suami itu?

Dalam tahun 2006, saya adalah Hakim Mahkamah Persekutuan yang paling kanan. Terdapat dua kekosongan jawatan yang lebih tinggi, tetapi hakim yang lebih “junior” dilantik untuk memangku satu daripadanya. Yang satu lagi dibiarkan kosong. Kemudiannya, apabila kekosongan hendak di isi, saya diketepikan juga.

Pada masa itu saya teringat apa yang Tun Mohamed Suffian, secara beseloroh, dalam konteks pada masa itu, pernah berkata kepada saya: “You know Hamid, when the Bar Council says we are pro-government and the government says we are anti- government, it means that we are independent.”

Demikian juga halnya dengan saya: Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak mahu saya membicarakannya sebab beliau menyangka saya orang Tun Abdullah Badawi sebab kami sama-sama berasal dari Kepala Batas.

Kerajaan yang diketuai oleh Tun Abdullah Badawi (mulanya) tidak mahu saya menjadi Ketua Hakim Negara kerana menyangka saya orang Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebab saya membebaskannya. Jika demikian, ertinya saya independent (bebas).

Kemudian, kebetulan, keluar video tape V.K.Lingam diikuti degan siasatan Suruhanjaya Di Raja. Banyaklah kisah yang tak diingini terkeluar menyebabkan inegriti Badan Kehakiman berada di tahap yang paling rendah dalam sejarah.

Maka, barulah saya ditawarkan jawatan Presiden Mahkamah Rayuan dan sebulan kemudian Ketua Hakim Negara. Saya tahu Al-Marhum Tuanku Sultan Azlan Shah memain peranan penting dalam pelantikan saya. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada rohnya. Suatu pengajaran daripada peristiwa itu ialah: jika Allah s.w.t. mengkehendaki sesuatu itu berlaku, tidak ada sesiapa yang boleh menghalangnya.

Sebab itulah, dalam ucapan pelantikan sebagai Ketua Hakim Negara saya berkata:

“Percayalah bahawa dalam hidup ini, akhirnya, kejujuran mengatasi segala-galanya. Percayalah bahawa dalam hidup ini, akhirnya, kebenaran akan terserlah jua.”

Memandang ke belakang, hidup saya telah pun disusun. Hendak dikatakan kebetulan, terdapat terlalu banyak kebetulan. Saya tidak dan tidak boleh merancangnya sebagitu. Tetapi, sepanjang perjalanan hidup saya, saya dicuba (diduga) seteruk-teruknya. Di sepanjang perjalanan hidup saya juga, saya telah berusaha bersungguh-sungguh dengan jujur sambil menyerahkan segala-galanya kepada Allah s.w.t. Di akhirnya saya diberi ganjaran yang saya sendiri tidak menduganya.

Tetapi, dalam hidup ini, tidak ada satu ganjaran yang lebih penting daripada integriti. Itu satu perkara yang kita ada atau tidak ada. Tidak ada sesiapa yang boleh menghadiahnya kepada kita. Kita terpaksa berusaha memperolehinya sendiri, sepanjang hayat.

Artikel Penuh