Harga Minyak Turun? Tak Boleh!

Kalau Datuk Ahmad Maslan “bijak” sedikit dengan buat kajian menyeluruh berkenaan harga minyak dunia, dan kalau sdr Rafizi Ramli yang ex-PETRONAS berlaku jujur dalam membentangkan fakta harga minya dunia, nescaya masalah ini tidak akan sewenang-wenangnya dipolitikkan kepada rakyat marhaen.

Hari ini makalah saya dalam “The Malaysian Reserve” berkongsi dan merumuskan dapatan dan analisa yang terapungan di dunia wacana ekonomi dan politik global bahawa kejatuhan harga minyak dunia sebenarnya adalah sesuatu yang bersifat “REKAAN” (Artificial) dan tidak melambangkan gerak daya pasaran (Market Forces) sebenar urusan jual-beli minyak di pasaran dunia.

Di sebalik rungutan rakyat marhaen di negara kita berkenaan harga minyak yang masih tidak turun walaupun harga minyak dunia jatuh mendadak, sebenarnya kita hanyalah menerima tempias permainan “geopolitik pam minyak” antara “taiko OPEC” (swing producer) Saudi Arabia dan USA untuk melemahkan ekonomi Rusia dan juga Iran.

Jatuh $1 USD setong minyak, negara pengeluar petroleum (petro-state) seperti Rusia, Iran dan juga Malaysia boleh kehilangan ratusan juta sampai bilion USD sehari.

Bagi negara-negara pengeluar minyak yang telah bentangkan belanjawan 2015 di mana lebih separuh daripada perolehan kasar negara yang digunakan sebagai besar untuk belanjawan tahunan, unjuran awal yang dibuat sebelum berlaku krisis ini ialah harga minyak setong sekitar $100 USD.

Ini bermakna dalam keadaan harga minyak jatuh merudum, belanjawan negara pengeluar minyak seperti Rusia, Iran dan Malaysia kini sudah menjadi tidak realistik dan “overbudget” (terlajak).

Sebab itu negara seperti India dan Indonesia yang punya subsidi minyak yang tinggi bila dapat tahu saja harga minyak dunia jatuh, mereka bukan turunkan harga minyak di pam tapi mereka terus “naikkan” dengan kurangkan terus subsidi minyak yang besar itu agar lebih banyak penjimatan wang kerajaan dapat diperolehi daripadanya.

Ini permainan geopolitik silap mata (smoke and mirrors) antara Washington dan Riyadh yang mereka pernah lakukan dahulu pada lewat 80-an sehingga berjaya memiskinkan USSR yang mengakibatkan USSR jatuh ranap sehingga jadi apa yang ada pada hari ini.

Nyalakkan “perang ekonomi” daripada US dan Eropah sudah lama berkumandang sejak awal tahun lagi untuk melemahkan Rusia dan kini menjadi lebih berdentum bilamana Rusia dan China semakin rapat dari segi kerjasama ekonomi yang bakal menggoncangkan tiang seri ekonomi USA yang berpaksikan Petrodollar (mata wang US Dollar digandingkan dengan pengeluaran minyak mentah dunia).

Ditulis oleh Wan Ahmad Fayhsal,
Felo di Sekolah Perniagaan Putra Malaysia.

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10203860895335563&set=a.1614115545545.85811.1015989308&type=1&theater