Konsep Bantuan Jangka Pendek Seperti BR1M Memang Ada Manfaat Dan Ada Juga Mudaratnya

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dalam satu tulisannya di blog chedet.cc (goo.gl/fZ8WkL ) telah mengkritik tindakan Kerajaan meneruskan pemberian wang tunai melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kerana ia menimbulkan tanggapan seakan satu bentuk rasuah untuk membeli undi dan sokongan dari rakyat.

Tun Dr Mahathir juga menyuarakan kebimbangan kalau-kalau bantuan sedemikian berterusan dikhuatiri akan menyebabkan rakyat Malaysia menjadi kurang berdaya saing (malas?) kerana terlalu bergantung harap pada bantuan tersebut di masa akan datang.

Adakah pandangan Tun Dr Mahathir betul atau sebaliknya? Dari satu sudut kontranya, jika pemberian BR1M yang dilakukan hanya bila hampir dengan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) maka ia memang boleh dianggap sebagai rasuah dalam skala besar untuk kepentingan politik parti pemerintah.

Bagaimana pun dalam konteks pemberian BR1M yang diamalkan sekarang nampaknya tanggapan itu tidak tepat memandangkan sejak ia diperkenalkan pada 2011 ia tidak terhad menjelang PRU semata-mata sebaliknya konsisten diberikan setiap tahun kepada golongan sasaran berpendapatan bawah RM3,000 dan RM4,000.

BR1M diwujudkan bukannya sebagai satu jaminan yang mengikat pendirian golongan yang menerima, sebaliknya sekadar aku janji dan komitmen BN dalam membantu meringankan bebanan rakyat tanpa mengira parti apa yang disokong oleh penerimanya. Ia mencerminkan keprihatinan Kerajaan kepada rakyatnya.

Begitu juga bila BR1M dikatakan menyebabkan ada rakyat Malaysia menjadi malas atau kurang berdaya saing, juga kurang tepat kerana bantuan yang diterima bukannya berbentuk sara diri yang mencecah ribuan ringgit setiap bulan sebaliknya sekadar beberapa ratus ringgit sahaja setahun.

BR1M sama sekali tidak boleh disamakan dengan bantuan kebajikan kepada penganggur terhormat yang makan, minum dan tidur dengan hanya mengharapkan bantuan tersebut setiap bulan untuk meneruskan kehidupan. Jadinya soal daya saing rasanya tidak timbul.

Secara umumnya BR1M ada sedikit persamaan dengan bantuan zakat kepada asnaf yang layak atau bantuan kewangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk golongan orang kurang upaya, warga emas tidak berkemampuan dan lain-lain. Bantuan sedemikian lebih kepada bermaksud meringankan bebanan.

Bagi golongan berkeluarga dengan anak tiga empat orang, bantuan tunai BR1M yang kini masuk siri keempat hakikatnya dialu-alukan walau pun kecil nilainya namun besar maknanya dalam meringankan bebanan lebih-lebih lagi di awal tahun di mana persediaan persekolahan anak-anak menuntut perbelanjaan yang bukan sedikit.

Untuk golongan bujang atau berkeluarga yang mempunyai tunggakan bil utiliti, setidak-tidaknya dengan sedikit wang ringgit yang diterima dari BR1M dapatlah juga melangsaikan tunggakan yang ada. Nilai yang kecil jika bijak digunakan besar juga manfaatnya.

Apa pun yang paling penting difahami, BR1M bukannya bermatlamat untuk meningkatkan pendapatan individu, tujuan utamanya sejak dulu hingga sekarang hanya satu yakni meringankan bebanan khalayak yang tergolong dalam kumpulan sasar. Seharusnya motif utamanya itu tidak disalah ertikan dengan maksud lain.

Perkara lain yang perlu kita halusi di sebalik pemberian tunai BR1M yang jumlah keseluruhannya mencecah berbilion ringgit itu, ia secara tidak langsung sebenarnya turut merancakkan kitaran ekonomi. Wang yang keluar dari kantung kerajaan masuk ke poket penerima kemudiannya menghidupkan urus niaga di luar sana untuk tempoh tertentu. Adakah ramai yang perasan hakikat itu?

Namun tetap perlu diakui BR1M hanya bersifat bantuan jangka masa pendek seumpama memberi ikan dan bukannya sebatang joran untuk terus memancing ikan. Konsep bantuan jangka pendek seperti BR1M memang ada manfaat dan ada juga mudaratnya. Mungkin asas inilah yang membimbangkan Tun Dr Mahathir kalau-kalau lambat laun ia mengganggu fokus Kerajaan untuk membangunkan negara mengikut kemampuan daya saing rakyatnya.

Pun begitu, penulis percaya Kerajaan terbuka dengan kritikan tersebut, demikian juga Tun Dr. Mahathir dan kita semua juga terbuka menerima pro kontranya untuk dibahaskan seimbas lalu mengikut pemahaman masing-masing.

Sumber:
http://www.mykmu.net/2014/11/16/seimbas-lalu-pemberian-br1m/

Walau apa pun, terima Tun Dr. Mahathir kerana sangat mengambil berat dan masih melontarkan teguran dan idea kepada negara kita yang tercinta ini. Beliau negarawan sejati.

Kepada penyokong PR yang baru hendak bersorak, pemberian bantuan seperti ini juga termaktub di dalam manifesto PR PRU13 terdahulu.