Perwakilan DAP Persoalkan Pembelian Mercedes Dan Imuniti Yang Ditawarkan Kepada Lim Guan Eng Yang Bebas Letakkan Kereta Ditempat Diharamkan Tanpa Ditunda

Seorang perwakilan di Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang membuat kejutan apabila dia mempersoalkan Ketua Menteri Lim Guan Eng tentang keputusannya membeli sebuah kereta baru untuk kegunaan rasmi sedangkan kereta sebelum ini masih dalam keadaan yang baik.

Wakil dari Chai Leng Park, Seberang Perai, Shamsher Singh Thind berkata Guan Eng, yang juga Setiausaha Agung parti, mengkritik kerajaan negeri Terengganu apabila mereka membeli model yang sama pada tahun 2008 tetapi Guan Eng telah melakukan perkara sama di bawah pentadbirannya.

“Guan Eng telah membeli sendiri sebuah kereta Mercedes Benz. Apa yang telah berlaku?” dia bertanya pada perbahasan konvensyen semalam.

Keberanian Shamsher menyoal isu yang berkaitan dengan kerajaan negeri di hadapan Guan Eng menimbulkan kekecohan di kalangan 309 perwakilan yang berada di konvensyen itu.

Shamsher, pensyarah undang-undang di institusi pengajian tinggi di sini, turut mempersoalkan imuniti ditawarkan kepada Guan Eng oleh pegawai-pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

“MPPP menunda secara besar-besaran kenderaan yang diletakkan secara haram oleh orang ramai, termasuk pelajar kolej, tetapi apabila kereta Ketua Menteri diletakkan di ruang yang tidak ditetapkan, MPPP akan memilih untuk tidak mengendahkannya,” katanya.