Terpulang Pada Saya Nak Hadir Atau Tidak Mesyuarat Pakatan Rakyat – Hadi Awang

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata terpulang kepada beliau untuk hadir atau tidak Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

“Saya tak perlu diminta (hadir), (kalau) saya nak hadir, hadirlah,” katanya kepada pemberita di Gombak hari ini.

Beliau diminta mengulas resolusi oleh jawatankuasa eksekutif pusat DAP yang mendesak Hadi menghadiri mesyuarat gabungan itu.

Ditanya sama ada beliau akan hadir ke mesyuarat akan datang, Hadi hanya berkata, “Atas sayalah nak hadir (atau) tak mahu hadir”.

Bernama turut melaporkan kecaman Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap tindakan pemimpin DAP yang mempersoalkan kegagalan Hadi untuk hadir dalam mesyuarat PR itu.

Beliau berkata perkara berkenaan sepatutnya tidak dipersoalkan kerana Hadi mempunyai alasan tersendiri tidak dapat berbuat demikian.

“Dia (Hadi) tidak datang mesyuarat disebabkan malas atau uzur? dia uzur. Kenapa paksa orang uzur hadir mesyuarat.

“Kerja ‘orang bodoh’ ini (mempersoalkan ketidakhadiran Hadi),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka semalam.

Sebelum ini, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP meluluskan resolusi bagi mendesak Hadi hadir ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata Hadi perlu hadir bagi memastikan Pakatan Rakyat, gabungan PKR, DAP serta PAS, berdaya maju dan mendapat keyakinan pengundi.

Guan Eng secara terbuka turut menggesa Hadi hadir dalam mesyuarat berkenaan selepas beberapa bulan presiden PAS itu gagal berbuat demikian.