13 jawapan untuk soalan Lim Kit Siang

13 JAWAPAN UNTUK SOALAN LIM KIT SIANG

Lim Kit Siang telah mengajukan 13 soalan berbentuk pemeriksaan balas, termasuk sub soalan untuk dijawab oleh Perdana Menteri Najib Razak “untuk menyelamatkan kredibiliti, kebebasan dan profesinalisma badan kehakiman Malaysia yang telah ‘terancam’ dengan teruk susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri pada 10 Februari lepas”.
http://blog.limkitsiang.com/2015/02/12/thirteen-questions-for-najib-to-answer-to-salvage-the-credibility-independence-and-professionalism-of-malaysian-judiciary-which-had-been-gravely-sullied-by-the-extraordinary-pmo-statement-on-feb-10/



1. Bolehkan kerajaan jelaskan bagaimana Pejabat Perdana Menteri boleh mengeluarkan kenyataan yang mempertahankan keputusan Mahkamah Persekutuan untuk mengenepikan rayuan kes liwat Anwar Ibrahim hanya beberapa minit selepas pengumuman Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria dan dikeluarkan sebelum hukuman dijatuhkan. “Proses yang panjang, memakan masa dan terperinci kini telah selesai”. Apa yang telah selesai?

LSS: Tarikh Mahkamah akan menjatuhkan hukuman telah diketahui umum lama dulu dan 2 versi kenyataan telah disediakan – satu untuk kenyataan yang menyabitkan Anwar dan satu lagi kenyataan sekiranya Anwar bebas. Pada zaman internet ini, setelah membaca laporan terkini dan langsung dari MalaysiaKini mahupun kiriman whatsapp dari wakil kerajaan yang berada di dalam mahkamah, ia sebenarnya sangat pantas untuk kita menekan butang hantar untuk versi laporan yang tepat dan benar ke meja berita di serata dunia.

Juga, Pak Cik Lim, kenyataan Pejabat Perdana Menteri tidak merujuk kepada ‘hukuman’ tetapi merujuk kepada ‘bersalah’ dan ‘tidak bersalah’ – yang diterima dan diketahui oleh semua. Pejabat Perdana Menteri kemungkinan telah menerima berita tersebut pada masa yang sama seperti anda. Tidak cepat dan tidak lambat.



2. Keduanya, seperti yang dinyatakan oleh LKS, Pejabat Perdana Menteri mungkin telah menggaji orang paling genius di dunia, yang juga pembaca terpantas di dunia – kerana Ketua Hakim Negara mengambil masa 2 jam untuk membaca hujah penghakiman tetapi ‘genius’ Pejabat Perdana Menteri itu hanya mengambil masa beberapa minit untuk memahami terma teknikal dan undang-undang yang rumit sebelum mengeluarkan kenyataan itu. Bagaimana ini boleh terjadi?

LSS: Tiada keperluan pun untuk mencerna dan memahami terma teknikal dan undang-undang yang rumit. Kenyataan itu tidak mencerna atau cuba memberi penerangan. Ia hanyalah sebuah kenyataan biasa yang menyebut bahawa kes ini mengambil masa yang sangat lama (7 tahun, 3 mahkamah berbeza dan berdozen peguam) dan kes ini telah sampai ke penghujungnya – keputusannya Anwar didapati bersalah oleh Mahkamah Tertinggi Negara.



3. Kenyataan Pejabat Perdana Menteri berbunyi: “Di dalam kes ini, proses yang panjang, memakan masa, dan terperinci telah diikuti oleh ramai pihak. Proses ini telah pun selesai, dan kita menyeru semua pihak yang terlibat agar menghormati proses undang-undang ini dan keputusan yang telah dijatuhkan.” “Kenyataan Pejabat Perdana Menteri ini adalah bukti terbaik bagaimana proses undang-undang telah dicampuri dan tidak dihormati.” kata Lim Kit Siang. Kenapa Perdana Menteri menyokong keputusan ini?

LSS: Sama ada bersalah atau tidak bersalah, kenyataan Pejabat Perdana Menteri akan tetap mengandungi ayat “Kita menyeru semua pihak yang terlibat agar menghormati proses undang-undang ini dan keputusan yang telah dijatuhkan.” Adakah anda telah menjangkakan Pejabat Perdana Menteri akan berkata “Kita tidak percaya bahawa defendan telah didapati tidak bersalah, jangan terima keputusan ini, pergi berdemo dan bantah pembebasan Anwar.”? Aduh Lim Kit Siang, logik la sikit. Apa lagi PM patut cakap?



4. Adakah Pejabat Perdana Menteri betul-betul menjangkakan bahawa orang ramai akan mempercayai bahawa ia telah menyediakan 2 kenyataan sebagai persiapan untuk sebarang keputusan Mahkamah Persekutuan itu? Adakah Pejabat Perdana Menteri bersedia untuk segera mengeluarkan kenyataan ‘Anwar tidak bersalah’ untuk membuktikan kenyataan itu benar-benar wujud?

LSS: Saya yakin Pejabat Perdana Menteri boleh mengeluarkan kenyataan ‘Anwar tidak bersalah’ ini sekiranya diminta. Ia bukanlah masalah yang besar sangat. Sekarang anda telah meminta ia dikeluarkan, saya yakin Pejabat Perdana Menteri akan memenuhi permintaan anda.

Pada masa yang sama, boleh anda minta Anwar untuk mengeluarkan draft kenyataan sekiranya Anwar tidak bersalah yang mungkin akan berbunyi seperti “Keadilan telah dilaksanakan. Dengan izin tuhan, nama saya telah dibersihkan di dalam mahkamah. Seperti yang ditunjukkan dalam keputusan ini, saya tidak bersalah dan penghakiman yang tidak berat dari hakim-hakim ini wajar diberi pujian yang paling besar”.



5. Berapa kalikah Pejabat Perdana Menteri menyediakan kenyataan untuk dikeluarkan untuk mana-mana hasil perbicaraan kes jenayah, bersalah atau tidak bersalah? Lim Kit Siang mahu Najib mengeluarkan jumlah kenyataan sebegini yang pernah dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri di bawah pentadbirannya dan dua Perdana Menteri sebelumnya, Abdullah Ahmad Badawi dan Mahathir Mohamad.

LSS: Sebenarnya, banyak juga kenyataan sebegini yang telah dikeluarkan, termasuklah kenyataan yang melibatkan keputusan penggunaan kalimah Allah oleh mahkamah, di mana Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan untuk kesemua keputusan dan penghakiman Kalimah Allah. Pejabat Perdana Menteri sedar kes-kes berprofil tinggi seperti ini memerlukan respon dan tindak balas yang pantas dari pentadbiran tertinggi negara kerana situasi mungkin akan menjadi kurang terkawal dan boleh menyebabkan rusuhan, kecederaan dan kematian. Adakah anda tidak melihat, terdapat 1000 penyokong Anwar di hadapan Istana Kehakiman? Walaupun hanya 1000 orang, pergaduhan tetap terjadi dan salah seorang ADUN DAP telah ditahan polis.

Pak Cik Lim, adakah anda sudah lupa yang reformasi tahun 1999 telah menyebabkan rusuhan besar selepas Anwar didapati bersalah? Bagaimana pula dengan peristiwa Anwar dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada tahun 2012 di mana terdapat ribuan penyokong di luar mahkamah dan 2 bom buatan sendiri meletup? Pejabat Perdana Menteri akan dituduh sangat tidak bertanggungjawab sekiranya ia gagal untuk mengeluarkan kenyataan untuk sebarang kes mahkamah dan keputusan mahkamah yang berprofil tinggi.



6. Mengapa Pejabat Perdana Menteri menyediakan dan mengeluarkan kenyataan di dalam kes Anwar Ibrahim ini sedangkan kes itu adalah melibatkan seorang individu (Saiful Bukhari) yang langsung tiada kena mengena dengan kerajaan. Berapa banyak kenyataan yang telah kerajaan keluarkan di penghujung kes untuk kes yang melibatkan individu perseorangan sebelum ini, yang menyebut kes dan turut melibatkan kenyataan Pejabat Perdana Menteri?

LSS: Pak Cik Lim, takkan ini pun nak tanya? Tak ramai individu perseorangan yang telah diliwat oleh Ketua Pembangkang Malaysia di dalam kes mahkamah yang boleh menamatkan karier politik seorang individu berprofil tinggi.

Sama ada kes ini diadukan oleh individu perseorangan atau kambing, itu tidak penting. Fokusnya adalah pada yang dituduh, iaitu ketua pembangkan Malaysia. Seperti yang telah saya nyatakan tadi, Pejabat Perdana Menteri akan dituduh sebagai tidak bertanggungjawab jika mereka tidak segera mengeluarkan kenyataan selepas selesai sebuah kes berprofil tinggi yang boleh menganggu ketenteraman awam dan menyebabkan keganasan.



7. Pejabat Perdana Menteri berkata, “Hakim-hakim itu hanya mencapai keputusan apabila mereka selesai mempertimbangkan segala bukti dan keterangan saksi secara seimbang dan objektif.” Bagaimana Pejabat Perdana Menteri boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian tanpa membaca atau meneliti keputusan Mahkamah Persekutuan – yang Ketua Hakim negara mengambil masa 2 jam. Tetapi Pejabat Perdana Menteri hanya mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkan kenyataan dan kenyataan itu dikeluarkan sebelum proses kehakiman selesai dan sebelum hukuman dijatuhkan.

LSS: WOI!! Pak Cik Lim, kenapa anda ulangi soalan yang anda telah utarakan di atas tadi?

Saya dah jawap pun. Kenyataan Pejabat Perdana Menteri hanyalah sebuah kenyataan biasa, tarikh hukuman dijatuhkan telah pun diketahui ramai terlebih dahulu dan 2 versi kenyataan telah pun disediakan dan kenyataan tersebut boleh dikeluarkan dengan hanya menggunakan email, dengan butang ‘SEND’ dan dengan adanya internet.



8. Kenyataan Pejabat Perdana Menteri berbunyi lagi, “Malaysia mempunyai badan kehakiman yang bebas dan banyak keputusan mahkanmah sebelum ini tidak memihak kepada orang-orang kanan kerajaan.” Lim meminta Najib untuk menyenaraikan orang-orang kanan ini yang setaraf dengan Ketua Pembangkang Malaysia, seperti Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kabinet, yang telah didapati bersalah dan dpenjarakan di bawah undang-undang untuk tempoh 34 tahun yang lepas, di bawah pentadbiran 3 Perdana Menteri.

LSS: Saya telah menjawab soalan ini sebelum ini tapi nampaknya anda masih lupa. Antara ‘orang-orang kanan’ kerajaan yang telah dijatuhkan hukuman sejak 34 tahun lepas termasuklah:

TImbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Anwar Ibrahim yang telah disabitkan bersalah atas pelbagai tuduhan rasuah dan salahguna kuasa pada tahun 1999 (yang ini, kenapa anda selalu lupa Pak Cik Lim)
Bekas Menteri Besar Selangor Harun Idris didapati bersalah atas tuduhan rasuah pada tahun 1975.
Menteri Belia dan Sukan Mokhtar Hashim didapati bersalah membunuh pada tahun 1982.
Bekas Menteri Besar Selangor Khir Toyo didapati bersalah atas tuduhan rasuah pada tahun 2011, dipenjarakan setahun dan segala harta bendanya disita.



9. Kenyataan Pejabat Perdana Menteri juga berkata, “laporan polis terhadap Anwar Ibrahim telah dilakukan oleh seorang individu perseorangan – pembantu peribadi Anwar – dan bukannya dilakukan oleh kerajaan. Sebagai seorang mangsa serangan seksual yang serius, kes beliau berhak didengar di mahkamah.

LSS: Benar, Pak Cik Lim. Jadi, maksud anda laporan polis Saiful itu tidak perlu disiasat dan diabaikan, tidak perlu dibawa ke mahkamah dan dibicarakan walaupun mempunyai bukti yang kukuh?



10. Adakah ini salah satu bentuk dakwaan dari Pejabat Perdana Menteri yang menuduh Anwar melakukan aksi seksual yang ganas yang tidak konsisten dengan kes yang dibawa oleh pihak pendakwaan terhadap Anwar – seks sukarela – yang kesnya dibuka dengan persetujuan pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Shafee Abdullah dan Peguam Negara Abdul Gani Patail?

LSS: Kenyataan tersebut tertulis ‘Serangan Seksual’ bukannya ‘Serangan Seksual Ganas’. Dalam undang-undang, ia adalah satu bentuk serangan seksual kerana undang-undang telah dilanggar dan satu lubang dubur telah ditembusi. Seperti yang kita sudah sedia maklum, Seksyen 377B tidak membezakan sama ada perlakuan itu adalah sukarela atau tidak, kerana liwat sememangnya tidak dibenarkan di negara ini dan di bawah undang-undang warisan dan tinggalan British.



11. Kenapa Pejabat Perdana Menteri meningkatkan serangan terhadap Anwar Ibrahim dengan mendakwa Anwar telah secara ganas meliwat Saiful Bukhari sedangkan Anwar didakwa di bawah seksyen kanun keseksaan yang melibatkan liwat sukarela?

LSS: Pak Cik Lim, ini soalan yang sama dengan soalan 10. Sekali lagi, Pejabat Perdana Menteri tidak menyatakan ia adalah ‘Liwat Secara Ganas’. Dan jika anda mahukan liwat sukarela dibenarkan, maka Pakatan Rakyat patut berkempen untuk memansuhkan Seksyen 377B ini. Sila minta PAS atau PKR atau DAP untuk mencadangkan agar seksyen ini dimansuhkan apabila sidang Parlimen yang seterusnya bersidang.



12. Adakah kenyataan Pejabat Perdana Menteri ini cuba memulakan kritikan terhadap sabitan bersalah Anwar dalam kes liwat ini, memandangkan terlalu banyak ‘perkara yang tidak kena’, antaranya Anwar didakwa atas motif politik dan bukannya didakwa atas sebab beliau melakukan jenayah. Sebagai contoh, kenapa Saiful tidak didakwa atas tuduhan liwat sukarela, sama seperti Anwar?

LSS: Pejabat Perdana Menteri tidak cuba untuk memulakan apa-apa. Ia hanya menyatakan fakta kes seperti mahkamah mengambil masa 7 tahun untuk membicarakan kes ini, telah ditunda banyak kali, melalui 3 mahkamah yang berbeza, melibatkan 8 hakim, puluhan peguam dan 100 hari perbicaraan. Ia hanya menyatakan kes ini melalui proses mahkamah yang sangat lama dan terperinci. Dan mengapa Saiful tidak didakwa dan dihukum, sekali lagi ianya menyabitkan kesalahan pelaku dan bukan mangsa. Dalam sebarang kes yang dibicarakan di bawah Seksyen 377B, mangsa tidak akan didakwa. Tambahan pula, Saiful telah menjadi saksi pendakwaan dan boleh membuat sebarang perjanjian dengan pihak pendakwaan untuk memberikan keterangan terhadap Anwar.

Takkan tak tahu undang-undang, Pak Cik Lim?

Apa yang anda minta adalah kanak-kanak yang telah secara sukarela melakukan hubungan seksual mesti didakwa jika si pelaku atau tertuduh didakwa melakukan hubungan seksual dengan kanak-kanak bawah umur tersebut. Atau mangsa bunuh yang turut didakwa atas kerelaan untuk dibunuh oleh pembunuhnya .

Sama ada liwat itu berlaku atau tidak bergantung sepenuhnya kepada keupayaan Anwar untuk ‘menjaga’ zakarnya daripada meliwat Saiful. Ia adalah zakar Anwar yang telah meliwat Saiful dan bukanya Saiful yang menyuakan lubang duburnya untuk diliwat Anwar.

Berdasarkan soalan anda ini, bolehkah saya bertanya siapa dan bagaimana seseorang telah berjaya mencuri air mani Anwar? Boleh jawab soalan ini? Kerana peguam Anwar tidak pernah menafikan ianya bukan air mani Anwar.



13. Apakah sebab Najib berat sebelah dalam mengendalikan kes seperti yang melibatkan Anwar dan kes seperti pembunuhan Altantuya Shaaribuu yang didalangi oleh Abdul Razak Baginda, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Korporal Sirul Azhar Umar, di mana tiada satu pun kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri apabila perbicaraannya tamat di Mahkamah Persekutuan?

LSS: Kelakar betul soalan ini, Lim Kit Siang.

Kerana kes yang anda sebutkan itu tidak melibatkan Ketua Pembangkang mahupun mana-mana ahli politik. Ianya tidak melibatkan ribuan orang yang mungkin akan bertindak ganas di luar mahkamah, seperti yang terjadi ketika Anwar disabitkan tidak bersalah oleh Mahkamah Tinggi (dan 2 bom buatan sendiri dijumpai). Jadi, mengapa perlu kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri dikeluarkan untuk menenangkan keadaan?

Oleh Lim Sian See,
https://www.facebook.com/notes/lim-sian-see/lss-answers-the-13-questions-from-uncle-lim-kit-siang/1627192187499569?pnref=story