5 perkara yang perlu diteliti sebelum tuduh badan kehakiman tak bebas

5 PERKARA YANG PERLU DITELITI SEBELUM MENUDUH BADAN KEHAKIMAN TIDAK BEBAS

Walaupun berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan Anwar Ibrahim supaya melepas dan membebaskannya daripada tuduhan liwat, namun peguam kanan pasukan pendakwaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyifatkan kes itu telah memusnahkan hidup Mohd Saiful Bukhari Azlan.

“Saya tahu keadilan akhirnya ditegakkan, jadi saya secara profesional berpuas hati dengan keputusan pada hari ini. Tetapi ianya tidak memberi saya kegembiraan. Kehidupan seorang pemuda telah dimusnahkan, berubah selama-lamanya.

“Lebih buruk lagi, tanpa berselindung mangsa berhadapan dengan sesi pemeriksaan balas selama tujuh hari dan kesemua pasukan peguam bela boleh menyoal balas beliau. Jadi proses keadilan juga memburukkan lagi penderitaan beliau,” katanya lagi.

ANWAR ENGGAN DIPERIKSA BALAS

Muhammad Shafee yang dilantik sebagai ketua pendakwaan pada peringkat Mahkamah Rayuan sehingga ke peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan, berkata manakala Anwar enggan berdepan dengan pemeriksaan balas dan memilih hanya memberi secebis kenyataan dari kandang tertuduh.

Beliau menganggap tugas tersebut sebagai suatu yang sangat sukar “kerana apa yang menjadi kebiasaan bagi suatu kes biasa serangan seksual oleh majikan terhadap pekerjanya telah digunakan sebagai medan untuk menyerang reputasi badan kehakiman”.

“Jadi saya menyeru kepada semua yang berfikiran adil di Malaysia dan di luar negara untuk mempertimbangkan dengan teliti sebelum membuat sebarang pendapat, dan untuk meneliti semula keterangan sebenar di dalam kes ini,” katanya yang turut dilapor Bernama.

DNA

Beliau berkata setiap penghakiman yang dibuat berdasarkan fakta, dan contohnya keterangan DNA, yang Malaysia mempunyai dua ciri utama dalam aspek penyiasatan DNA iaitu pertama, memerlukan 16 bacaan yang sepadan, dan kedua tiada perundangan di negara ini yang mewajibkan seseorang untuk memberikan sampel DNA.

“Tiada negara yang menuntut keperluan yang lebih tinggi. United Kingdom dan Amerika Syarikat membenarkan keperluan bacaan yang lebih rendah. Kesemua bacaan DNA yang menyokong kes ini adalah berpadanan dengan bacaan 16 daripada 16 iaitu dalam erti kata lain ia padanan sempurna.

“Dan kesemua DNA adalah didapati daripada ‘semen’, yang mana lebih dipercayai berbanding DNA yang didapati daripada peluh. Anda tidak boleh curi, palsukan atau mencemarkannya,” kata beliau.

Muhammad Shafee berkata apabila Anwar mencabar sampel pihak pendakwaan di mahkamah, beliau mempunyai peluang untuk menawarkan sampel beliau sendiri sebagai suatu keterangan.

“Jika benar beliau tidak bersalah, beliau boleh berbuat demikian dan menutup kes ini serta-merta. Namun beliau memilih untuk tidak berbuat apa-apa,” katanya.

ALIBI & CCTV

Selain itu notis alibi Anwar, yang pada mulanya merupakan suatu notis yang menyeluruh, dan telah dibuktikan palsu melalui rakaman CCTV yang ditayangkan kepada mahkamah, dan ini telah dibuktikan lama dahulu, katanya.

Selain itu, Anwar enggan bersumpah dengan al-Quran mengenai kejadian tersebut, sementara Mohd Saiful telah bersumpah dengan al-Quran mengenai butir kejadian itu di Malaysia dan juga di Mekah, yang merupakan tanah suci Islam.

“Kes seperti ini, di mahkamah tertinggi di Malaysia, adalah terlalu teknikal: Dalam proses undang-undang sedia ada, dan dalam aspek keterangan, terdapatkah kemungkinan di mana proses sewajarnya tidak diikuti? Terdapatkah sebarang teknikaliti?

“Pada hari ini, jawapan daripada hakim-hakim adalah tidak. Pada hari ini, mereka memutuskan pada keputusan yang telah dibuat, serta keterangan yang telah lama diuji dan dibentangkan,” katanya.

Muhammad Shafee berkata tuduhan besar yang sering diulang Anwar adalah kes ini mempunyai motif politik, namun berdasarkan keputusan hari ini tuduhan tersebut adalah palsu.

“Tiada sesiapa pun yang boleh menetapkan, mengolah dan memutar belit suatu proses perundangan yang mantap dan menyeluruh, termasuk keputusan yang memihak kepada Anwar. Tindakan bermotifkan politik di sini hanyalah Anwar dan penyokongnya yang menuntut agar kes ini digugurkan,” katanya.

PROFIL ‘LELAKI Y’ ADALAH MILIK ANWAR

Bernama turut melaporkan Mahkamah Persekutuan pada Selasa telah memutuskan bahawa profil DNA “Lelaki Y” yang terdapat dalam rektum Mohd Saiful adalah milik Anwar Ibrahim.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria berkata keterangan dua ahli kimia, Dr Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon, bahawa profil DNA Lelaki Y yang dihasilkan daripada ekstrak air mani daripada rektum Mohd Saiful adalah sepadan dengan profil yang dihasilkan daripada berus gigi, tuala Good Morning dan botol air mineral yang diambil dari lokap yang dihuni Anwar.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa menolak rayuan Anwar terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengubah penghakiman Mahkamah Tinggi, dan mensabitkan serta menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadapnya bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful pada 26 Jun, 2008.

Hakim Arifin berkata dengan mengambil kira keterangan lain, tidak dapat dipertikaikan bahawa sampel yang diperiksa Nor Aidora adalah daripada barangan yang hanya digunakan oleh Anwar.

“Dengan ini tidak dapat dipertikaikan bahawa profil Lelaki Y yang dihasilkan dan dianalisis oleh kedua-dua ahli kimia tidak lain dan tidak bukan adalah milik perayu,” katanya.

Hakim Arifin berkata berdasarkan pangkalan data DNA populasi rakyat Malaysia, terdapat kebarangkalian amat tinggi bahawa DNA Lelaki Y adalah milik individu yang sama.

BERLAKU PENETRASI

Dengan ini, mahkamah memutuskan bahawa keterangan DNA Lelaki Y menyokong keterangan terhadap elemen penetrasi zakar oleh Anwar.

Mahkamah juga memutuskan bahawa keterangan dua ahli kimia itu terletak di bawah pendapat pakar dan panel tidak berasa sangsi bahawa mereka adalah pakar dan Anwar telah gagal untuk mempertikaikan kepakaran mereka.

“Tiada apa-apa yang jelas tidak munasabah berhubung keterangan PW5 (saksi kelima pihak pendakwaan Dr Seah) dan PW6 (Nor Aidora),” katanya.

Panel juga mendapati pengambilan barang bukti atau eksibit yang digunakan Anwar semasa beliau berada dalam lokap tidak melanggar mana-mana peraturan a