Christopher Leong Tak Rujuk Penghakiman Mahkamah DAN Hanya Baca Laporan Media

Tarik balik kenyataan atau letak jawatan, kata lebih 100 anggota Badan Peguam kepada presiden badan berkenaan, Christopher Leong, berhubung reaksi beliau terhadap sabitan hukuman ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat baru-baru ini.

Menurut seorang daripada anggota Majlis Peguam, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, Leong perlu mengemukakan permohonan maaf yang jelas dan tanpa bersyarat kepada badan kehakiman dan entiti serta badan antarabangsa.

“Jika beliau gagal menarik balik kenyataan itu dalam tempoh yang munasabah (14 hari), kami akan mengambil segala langkah perlu untuk menggesa beliau segera berundur daripada jawatan presiden dan meminta Peguam Negara agar mengambil prosiding menghina yang sewajarnya terhadap beliau.

“Kalau Leong keluarkan kenyataan atas nama perseorangan, tak apa, tapi bukan atas kapasiti atau mewakili Majlis Peguam,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, Leong dipetik media tempatan sebagai berkata Anwar ‘dianiaya, bukan didakwa’ apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadapnya.

Sementara itu, seorang lagi anggota Majlis Peguam, Datuk Mohd Noor Amin berkata, pendirian dan kenyataan terbuka yang dibuat Leong adalah bertentangan dengan asas dan kewajipan statutori Majlis Peguam Malaysia yang turut termasuk melindungi integriti serta kesucian badan kehakiman.

“Leong mengakui tidak membaca penghakiman Mahkamah Persekutuan, tetapi pada masa sama, sehari selepas Mahkamah Persekutuan menyampaikan keputusannya, beliau mengeluarkan kenyataan yang memperkecil-kecilkan bahawa penghakiman Mahkamah Persekutuan dibuat tanpa sebarang asas dalam undang-undang, hanya semata-mata dengan merujuk kepada laporan media tentang perbicaraan itu,” katanya.

Pada 10 Feb, Anwar kalah dalam rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh.

Mahkamah Rayuan mendapati Anwar, 67, bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan di 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.