Fomca Berang Harga Barang Tak Turun

FOMCA telah mengkritik sifat pentingkan diri dan pilih kasih yang diamalkan oleh para peniaga kerana keengganan mereka untuk menurunkan harga barangan walaupun setelah harga minyak mengalami penurunan mendadak.

Setiausaha Agungnya Datuk Paul Selvaraj berkata para peniaga ini begitu cepat menaikkan harga apabila harga minyak naik tapi tidak berbuat apa-apa apabila harga minyak turun.

“Harga makanan dan barangan lain mesti diturunkan, seiring dengan penurunan harga minyak kerana harga minyak mempunyai kesan yang besar keatas barangan.”

“Harga barang perlu turun kerana kos operasi dan kos pengeluaran telah turun seiring dengan penurunan harga minyak.”

Sementara itu, pengendali restoran dan kedai-kedai makan perlu menurunkan harga di menu mereka kerana harga minyak telah mengalami penurunan yang mendadak, menurut Datuk Seri Hasan Malek, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Beliau berkata, harga petrol RON 95 telah turun sebanyak hampir 60 sen dari hujung tahun lepas, kepada RM 1.70 seliter.

Semenjak semalam, harga diesel telah berkurang 53 sen kepada RM 1.70 seliter dan petrol RON 97 mencatat penurunan hampir 90 sen kepada RM 2.00 seliter.

Hasan berkata, sudah sampai masanya pengendali restoran, kedai-kedai makan, peniaga yang terlibat dengan industri pembekalan makanan, dan peserta-peserta lain di dalam industri untuk menawarkan harga yang terbaik kepada pengguna.

“Jika mereka menaikkan harga ketika berlaku kenaikkan harga minyak, kenapa mereka tidak boleh mengurangkan harga sekarang?” soal Hasan lagi.

Hasan berkata lagi, mereka di dalam industri tersebut sedar bahawa tindakan dan penguatkuasaan boleh dikenakan terhadap mereka melalui pelbagai akta seperti Akta Kawalan Bekalan, Akta Kawalan Harga Dan Faedah Berlebihan dan Akta Pencatutan.

Beliau berkata lagi, kementeriannya akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan di dalam industri seperti pengeluar, pembekal dan pemborong untuk memastikan harga barangan terus kekal berpatutan dan menepati undang-undang, seperti yang terdapat pada barang harga kawalan.

Kementerian hanya boleh bertindak sebagai satu badan pemantau untuk memastikan harga barangan dikawal dan dilindungi dari tindakan manipulasi, spekulasi dan kegiatan menyorok barangan, katanya lagi.

“Kami sentiasa bekerjasama dengan mereka untuk mewujudkan situasi menang-menang untuk semua orang” tambah Hasan lagi.

“Perniagaan mesti memainkan peranan mereka di dalam negara ini. Dengan semangat kebersamaan, mereka mesti mengambil inisiatif untuk menurunkan harga barangan,” katanya.

Kementeriannya telah mula mengawasi harga barangan dan perkhidmatan bermula 15 Januari lepas, dengan GST yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Di bawah Ops Catut, yang akan berterusan hingga 31 Mac, KPDNKK akan menyenaraikan harga dan caj untuk lebih 10,000 barang dan perkhidmatan.

Sumber: We Are Not Malaysian Zombie
https://www.facebook.com/BukanZombie/photos/a.176411609205284.1073741827.176409242538854/388856484627461/?type=1&fref=nf