Guru Wajar diangkat Status Sebagai Wira Negara

Sudah tiba masanya untuk meningkatkan status para guru dan pendidik kepada status ‘Wira Negara’.

Para pejuang kita di dalam pasukan pertahanan dan keselamatan sentiasa bersedia untuk mengorbankan nyawa mereka apabila tiba masa untuk menyelamatkan masa depan negara.

Walaubagaimanapun, guru dan pendidik kita terpaksa mengorbankan kewarasan mereka pada setiap hari persekolahan untuk mendidik budak-budak nakal demi memperbaiki masa depan negara kita.

Oleh itu, guru mesti diiktiraf sebagai Wira Negara dan pekerjaan yang mulia ini mestilah duduk sama tinggi, berdiri sama rendah dengan pekerjaan berprestij lain seperti saintis, ahli politik, jurutera, pakar kewangan dan peguam (tapi, mungkin bukan peguam).

Kita sepatutnya tidak lagi memberi pandangan bahawa guru merupakan kakitangan kerajaan bergaji rendah yang gagal mengejar cita-cita untuk menjadi doktor atau jurutera.

Kita mesti mengiktiraf dan menghargai pendidik sebaik mungkin.
Jika guru mampu memberikan gred kepada pelajar, guru juga semestinya boleh dinilai oleh guru-guru lain, dengan ukuran kualitatif dan kuantitatif dan dinilai oleh pelajar mereka sendiri.

Saya pasti kita boleh setuju dengan perkara ini dan mampu membangunkan satu metodologi untuk mengukurnya.

Apabila guru selesai dinilai, guru-guru yang cemerlang mesti dihadiahkan dengan ganjaran bonus yang besar, selagi mereka boleh mengekalkan kecemerlangan mereka.

40% dari bonus prestasi ini akan dibayar bersama dengan gaji bulanan mereka, manakala 60% lagi akan dimasukkan di dalam ‘Tabung Wira Pendidikan’ dan diberikan kepada mereka apabila mereka bersara nanti. Dana ini boleh diuruskan oleh KSWP atau PNB.

Pembayaran untuk dana ini akan dikira dengan formula yang mengambil kira peratus tahun mereka berkhidmat sebagai guru cemerlang.

5 guru paling cemerlang setiap tahun mesti diraikan di acara-acara kebangsaan seperti Hari Malaysia dan dikurniakan Darjah Kebesaran ‘Datuk’ atau lain-lain pengiktirafan nasional.

Apabila kita mempunyai insentif, prestij, gaji dan pengiktirafan yang mencukupi untuk para pendidik kita, persaingan yang akan wujud sesama mereka akan menyaksikan mereka berusaha untuk meningkatkan standard mereka dan akhirnya akan berjaya menghasilkan pelajar sekolah yang lebih baik dan berkualiti.

Pelajar lepasan ijazah akan menjadi lebih tertarik untuk menyertai perkhidmatan perguruan dan tidak lagi tertumpu untuk menjadi jurutera, peguam dan doktor.

Ibu bapa juga akan kurang membantah sekiranya anak-anak mereka ingin menjadi guru dan tidak lagi menjadikan doktor dan peguam sebagai kerjaya pilihan.

Oleh Lim Sian See,
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=1622338131318308&set=a.1391116647773792.1073741829.100006264096443&type=1