Hadi Awang Kata Terpulang Kepada Beliau Nak Hadir Mesyuarat Pakatan Atau Tak

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang enggan mengesahkan sama ada beliau akan hadir pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Ahad ini, sebaliknya membidas sikap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang menggunakan taktik ugutan dalam memastikan kehadiran beliau.

“Dia (Guan Eng) tidak berhak menentukan saya hadir atau tidak hadir, terpulang kepada saya nak hadir ke tak hadir. Saya bukan anak murid sekolah. Kita tengok dululah.

“Tengok hari mesyuarat inilah saya hadir ke tidak hadir. Saya tak bergantung dengan sesiapa saya nak hadir,” ujarnya kepada media selepas menyampaikan kuliah mingguan Jumaat di kediamannya Kampung Rusila, hari ini.

Hadi juga menafikan dakwaan beliau banyak kali tidak hadir ke mesyuarat berkenaan berbanding dengan pemimpin PR yang lain.

Bahkan, kata beliau jika ada pihak yang masih tidak berpuas hati ia boleh dirujuk rekod kehadiran ahli-ahli mesyuarat majlis berkenaan

“Cuma saya rasa bangga, saya lebih banyak hadir mesyuarat dari Lim Guan Eng, kecuali (ketika) saya sakit dulu,” tegas beliau.

“Masa saya jadi Menteri Besar Terengganu pun saya hadir tiap-tiap kali mesyuarat. Saya tidak sibuk macam Ketua Menteri dan jika sibuk pun saya mesti hadir untuk mesyuarat Pakatan Rakyat.

“Kalau kata saya banyak tak hadir mesyuarat itu tak betul, kena ‘check’ kehadiranlah siapa paling banyak tidak hadir mesyuarat,” kata Hadi.

Semalam, Guan Eng mengulangi peringatan agar Hadi hadir mesyuarat PR Ahad ini bagi membolehkan sebarang keputusan dibuat secara kolektif.

Beliau berkata tanpa kehadiran presiden PAS, mesyuarat itu tidak dapat diteruskan kerana Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) telah menetapkan bahawa semua keputusan harus dibuat secara kolektif dengan kehadiran semua pemimpin PR.

“Kami mendapat jaminan Hadi akan datang, jika tidak mesyuarat tidak diteruskan,” kata Lim Guan Eng.

Beliau akan hadir ke mesyuarat itu bagi mewakili DAP, manakala Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim akan mewakili parti berkenaan.

Menurutnya, Setiausaha Agung merupakan kuasa tertinggi dalam DAP dan bukannya Pengerusi.

“Ada orang enggan memahami bahawa setiausaha agung DAP merupakan ketua parti. Ada yang faham, ada yang tidak faham,” katanya.

http://www.anwaraidc.com/2015/02/guan-eng-tidak-boleh-paksa-saya-hadir-mesyuarat-pr-kata-hadi/