Kad Kredit Kad Debit Tiada GST

Perkhidmatan kad kredit dan debit tidak dikenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sekali gus tidak meningkatkan kos operasi institusi perbankan di negara ini.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Bahagian Kad, Perkhidmatan/Pembiayaan Kewangan Komuniti Kumpulan, Deposit dan Bancassurance Malayan Banking Bhd. (Maybank), B. Ravintharan berkata, pengecualian GST itu amat melegakan semua pihak termasuk para pengguna.

Katanya, setakat ini, pengguna hanya dikenakan yuran tahunan dan GST dikenakan di dalam yuran tersebut.

Jelasnya, GST hanya dikenakan kepada pelanggan bagi barangan yang dibeli sama ada menerusi kad kredit dan debit atau secara tunai.

“Para pengguna tidak perlu bimbang mengenai perkhidmatan kad kredit dan debit yang ditawarkan institusi perbankan. Setakat ini tiada GST dikenakan berdasarkan transaksi melalui perkhidmatan kad kredit dan debit,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Kementerian Kewangan baru-baru ini menjelaskan, caj-caj perkhidmatan tertentu institusi perbankan adalah tertakluk kepada GST bermula 1 April 2015.

Para pelanggan bank perlu membayar tambahan enam peratus dalam yuran-yuran perkhidmatan seperti caj MEPS dan lain-lain lagi.

Tambah Ravintharan, produk baharu Maybank, sistem pembayaran secara tempat jualan mudah alih (mPOS) dengan kerjasama pengendali telekomunikasi, Maxis Bhd. (Maxis) juga tidak dikenakan GST.

Katanya, peruncit dan peniaga yang menggunakan alat peranti mPOS akan dikenakan yuran bulanan sebanyak RM10 dan tiada bayaran pendahuluan.

Katanya, mPOS membolehkan peniaga dan peruncit untuk mempromosikan transaksi tanpa tunai kepada pengguna.

“Produk-produk perkhidmatan baharu yang akan diperkenalkan institusi perbankan terutamanya Maybank tidak akan dikenakan GST dan hal itu tidak perlu dibimbangkan para pengguna,” ujarnya.