Kenyataan Kit Siang Tanda Awal PR akan Campur Kehakiman Sekiranya Menjadi Kerajaan Nanti

Kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibebaskan jika pembangkang menjadi kerajaan menunjukkan tanda mereka bakal campur tangan dalam perundangan negara dan menyalahgunakan kuasa apabila memerintah nanti.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim yakin, veteran DAP tersebut mengeluarkan kenyataan demikian kerana mahu dilihat kononnya Ke­tua Pembangkangitu teraniaya walaupun hakikat sebenar adalah sebaliknya.

“Dia buat begitu untuk memberi semangat kepada penyokongnya seolah-olah perjuangan mereka tulus dan betul. Tetapi apa yang lebih penting di sini untuk disedari ialah belum pun berkuasa mereka telah tunjukkan tanda-tanda untuk salah guna kuasa.

“Hanya dengan pengampunan Yang di-Pertuan Agong, Anwar boleh dibebaskan tetapi kata-kata Kit Siang itu seperti undang-undang dalam tangan dia. Dia nak beritahu rakyat, akan buat apa sahaja walaupun bertentangan dengan prinsip ketelusan dan integriti.

Beliau berkata yang juga Ahli Parlimen Muar berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa mengunjungi rumah Ke­tua MCA Bahagian Muar, Tay Puay Chuan di pekan Sri Menanti, Parit Jawa, di sini hari ini.

Razali mengulas kenyataan Kit Siang yang dibuat semasa menyam­paikan ceramah di Dewan Orang Ramai Kampung Baru, di Gurun, Kedah, malam semalam dan tindakan tersebut bagi memastikan Anwar dapat melibatkan diri lebih awal dalam bidang politik.

Menurut Kit Siang, tindakan tersebut membolehkan Anwar tidak perlu menunggu sehingga hukuman lima tahunnya tamat sebelum dibenar bertanding semula pada usia 77 tahun.

Razali yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pembangkang bimbang akan terus hilang momentum sokongan rakyat terhadap mereka berikutan imej Anwar jatuh teruk akibat kes liwatnya.

“Semua pihak perlu berhenti menggunakan kes liwat Anwar untuk me­raih simpati rakyat termasuk menghina dan menuduh institusi kehakiman negara yang digambarkan dipengaruhi serta tidak bebas,” ujarnya.

Tambah beliau, kenyataan yang dibuat Kit Siang itu juga ada kaitan dengan dua pilihan raya kecil yang akan diadakan di kawasan Parlimen Permatang Pauh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka supaya rakyat terpengaruh dan terus keliru.