Kerajaan panggil pembekal bincang isu harga barang

Kerajaan akan memanggil pembekal dan pengeluar barangan untuk mendapatkan penjelasan berhubung harga barangan yang masih berada di tahap sama walaupun harga minyak dan kos pengangkutan telah diturunkan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesemua pihak terlibat akan dipanggil untuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Menangani Kos Sara Hidup yang akan dipengerusikan beliau dalam tempoh terdekat bagi memaklumkan faktor-faktor yang menyebabkan keadaan itu berlaku.

“Kita akan dapatkan penjelasan dan keterangan daripada pihak pembekal dan pengeluar. Mereka boleh maklumkan kepada kita dan beritahu mengapa harga (barang) tidak dapat diturunkan.

“Apakah faktor-faktornya dan jika boleh kita tangani, mungkin kita boleh bantu mereka. Kita kena lihat bahawa pengeluar juga ada aspek yang perlu difahami,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan wang ihsan kepada 59 mangsa banjir di Dewan Kampung Aur Gading di sini semalam.

Beliau berkata, jika ia berlandaskan alasan-alasan munasabah, kerajaan bersedia me­nerimanya, namun dalam masa yang sama, rundingan akan terus dilakukan supaya peniaga menurunkan harga untuk melindungi pengguna.

“Sudah pasti ada caranya untuk turunkan harga dan persatuan pengguna juga boleh memainkan peranan mengajar pengguna untuk berbelanja secara berhemah,” katanya.

Muhyiddin turut meminta rakyat supaya realistik dan bukannya bersikap terburu-buru atau emosional dalam isu berkaitan harga barang, walaupun harga barang sewajarnya tidak patut dikekalkan selepas harga minyak telah diturunkan.