Kerusi Parlimen Permatang Pauh Belum Kosong

Kerusi Parlimen Permatang Pauh yang disandang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim belum kosong walaupun Mahkamah Persekutuan menolak rayuan beliau untuk mengenepikan sabitan Mahkamah Rayuan ke atas kes Liwat Saiful Bukhari Mohd Azlan.

Panel lima Hakim Mahakamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria sebulat suara memutuskan sabitan oleh Mahkamah Rayuan adalah sah dan tepat dan mengekalkan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan.

Perkara 48 Fasal 1 (e) Perlembagaan Malaysia menyebut antara syarat hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen apabila

telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan (atau, sebelum Hari Malaysia, di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah atau Sarawak atau di Singapura) dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan dia tidak mendapat pengampunan bebas; atau

Dalam Fasal 4 pula menyatakan seseorang ahli Parlimen akan hilang kelayakan selepas 14 hari beliau dijatuhkan hukuman kecuali ia membuat rayuan ke Makamah yang lebih tinggi.

Sungguhpun keputusan ini merupakan saluran terakhir undang-undang, kerusi Permatang Pauh hanya akan kosong secara automatik jika Anwar tidak membuat sebarang petisyen memohon pengampunan Yang Di Pertuan Agong dalam tempoh 14 hari bermula pada hari ini.

Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam peruntukan yang terdahulu dalam Perkara ini, jika seseorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen hilang kelayakan untuk terus menjadi ahli Majlis itu menurut perenggan (e) Fasal (1) atau di bawah suatu undang-undang persekutuan yang dibuat menurut Fasal (2)–

(a) kehilangan kelayakan itu hendaklah mula berkuat kuasa apabila habis tempoh empat belas hari dari tarikh dia–

(i) disabitkan dan dihukum sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan (e) yang disebut terdahulu; atau

(ii) disabitkan atas suatu kesalahan atau dibuktikan bersalah atas suatu perbuatan di bawah suatu undang-undang persekutuan yang dibuat menurut Fasal (2); atau

(b) jika dalam tempoh empat belas hari yang dinyatakan dalam perenggan (a) suatu rayuan atau apa-apa prosiding mahkamah yang lain dibawa berkenaan dengan sabitan atau hukuman itu, atau berkenaan dengan pensabitan atau pembuktian bersalah sedemikian, mengikut mana-mana yang berkenaan, maka kehilangan kelayakan itu hendaklah mula berkuat kuasa apabila habis tempoh empat belas hari dari tarikh rayuan itu atau prosiding mahkamah yang lain itu dibereskan oleh mahkamah; atau

(c) jika dalam tempoh yang dinyatakan dalam perenggan (a) atau tempoh selepas pemberesan rayuan atau prosiding mahkamah yang lain yang dinyatakan dalam perenggan (b) ada difailkan suatu petisyen bagi pengampunan, maka kehilangan kelayakan itu hendaklah mula berkuat kuasa sebaik sahaja petisyen itu dibereskan.

Ini bermakna Parlimen Permatang Pauh hanya akan diisytiharkan kosong hanya jika YDP Agong menolak petisyen pengampunan yang dijangka akan dikemukakan oleh peguam Anwar pada minggu akan datang.

Justeru Pilihan Raya kecil Parlimen Permatang Pauh hanya akan mungkin diadakan pada April atau Mei 2015 bukannya dalam masa terdekat.

Dalam pilihan raya umum lalu bagi Permatang Pauh Datuk Seri Anwar Bin Ibrahim telah menang dengan majoriti 11, 721. Beliau mendapat 37,090 undi mengalahkan calon Barisan Nasional, Dr Mazlan Bin Ismail yang mendapat 25,369 undi dan calon bebas Abdullah Zawawi Bin Samsudin yang mendapat 201 undi.

Jumlah Pengundi = 71,699 | Jumlah Undi = 63,332 | Peratus Mengundi = 88.33% | Undi Rosak = 672