Musa Hassan Sahkan Sri Sanjeevan Rapat Dengan Anwar Ibrahim

Nampaknya terdapat banyak kebenaran dalam kes Jude Pereira yang cuba disogok untuk membuat kenyataan umum mendakwa ada konspirasi terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini adalah rentetan dari MalaysiaKini. Amat mengejutkan apabila MalaysiaKini mengikuti rapat hal ini. Mungkin ahli politik pembangkang tertentu memikirkan Anwar kini tidak diperlukan lagi dan perlu ‘disimpan’ di dalam penjara dan terus menerus harus dicemarkan kredibiliti?

Mereka yang disebutkan didakwa terlibat ialah Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, yang pernah menjadi penaung badan pemantau jenayah itu.

Bercakap kepada Malaysiakini, Musa mengesahkan beliau menemui Pereira sebelum pilihan raya umum lepas pada tahun 2013 di rumah bekas ketua polis itu di Petaling Jaya. (LINK)

Katanya, beliau kemudian dimaklumkan bahawa timbalan penguasa (DSP) itu telah diminta untuk membuat satu kenyataan akhbar yang memihak kepada Anwar.

Bagaimanapun, beliau menafikan bertanya kepada DSP itu sama ada terdapat konspirasi dalam kes ketua pembangkang itu seperti yang dikatakan dalam artikel yang disiarkan oleh blog Malaysia Today, yang memetik Pereira.

“Kita bercakap tentang masa dulu-dulu dan mengenai bagaimana Pereira mahu menjadi seorang peguam. Saya juga memberitahunya yang Sanjeevan mahu bertemu dengannya,” katanya.

Pereira, katanya, kemudian memberitahunya bahawa dia bertemu dengan Sanjeevan yang memintanya mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai adanya konspirasi terhadap Anwar.

Musa berkata apabila Pereira memberitahunya bahawa dia enggan berbuat demikian, beliau telah memuji pegawai polis atas pendiriannya itu.

Bekas IGP itu juga mendedahkan bahawa dia berpisah dengan Sanjeevan kerana Sanjeevan terlalu terlibat dalam politik.

Katanya, beliau telah meminta Sanjeevan supaya berhenti dari politik dan memberi tumpuan kepada NGO itu.

Apabila Sanjeevan tidak berbuat demikian, kata Musa, beliau meninggalkan MyWatch.

Menjawab satu soalan, Musa mengesahkan bahawa Sanjeevan rapat dengan Anwar. Ketika dihubungi kemudian, Sanjeevan enggan mengulas mengenai perkara itu.

Selasa lalu, Anwar disabitkan atas tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun.

Dalam artikel Malaysia Today itu, disiarkan apa yang didakwa tulisan tangan Pereira mengenai pertemuannya dengan Sanjeevan yang menyatakan dia akan “dijaga” sekiranya Pakatan Rakyat menang pilihan raya itu dan dia juga bercakap dengan Anwar melalui telefon.
LINK