Nik Aziz Seorang Lagenda Politik Malaysia

Tuan Guru Nik Aziz

Satu-satunya pertemuan saya dengan beliau adalah pada tahun 1991 atau 1992, saya pun sudah tidak ingat. Beliau baru sahaja menjadi Menteri Besar Kelantan dan saya sedang mengusahakan satu projek jalanraya dan menghadiri satu mesyuarat di pejabatnya. Apa yang saya boleh ingat dari mesyurat tersebut adalah kesederhanaan. Beliau adalah pemimpin yang sederhana, dengan idea yang sederhana dan keperluan yang sederhana.

Saya mengikuti perjalanan karier beliau sejak 2 dekad yang lepas. Saya tidak pernah kagum dengan kebanyakkan idea beliau – untuk ekonomi, pengurusan sumber alam negeri, idea dan pendangan peliknya mengenai rogol dan pandangan gilanya untuk menembak mati semua harimau di Kelantan. Malah, saya tidak akan memberikan markah kepadanya berdasarkan usaha-usaha yang dilakukan beliau untuk memajukan Kelantan dan menaiktaraf ekonomi rakyat Kelantan. Saya kritikal terhadap beliau seperti yang anda semua telah baca dalam posting-posting Facebook saya sebelum ini.

Tetapi sebagai pemimpin, majoriti rakyat Kelantan dan orang di luar Kelantan menyayangi beliau. Gaya hidupnya yang mudah dan tidak berlebihan menjadi sumber inspirasi kepada ramai orang. Beliau disayangi sebagai seorang pemimpin alim yang sangat menakuti Tuhan. Ramai rakyat Kelantan menyayangi TGNA sepenuh hati. Beliau sangat merendah diri, bersih dari segala kontroversi dan sangat sederhana. Dan inilah nilai yang ada pada diri beliau yang sangat saya sukai. Dan kerana beliau (dan bukan PAS) BN tidak mampu merampas Kelantan sehingga sekarang. Beliau adalah lagenda dalam cara beliau sendiri. Beliau adalah seseorang yang anda boleh kritik tetapi anda tidak boleh benci.

TGNA sememangnya menambah rencah dan warna dalam landskap politik Malaysia. Walaupun beberapa ideanya saya tidak boleh terima sehingga sekarang, tetapi beliau tetap seorang pemimpin dan lelaki yang baik. Beliau ada kualiti yang bagus yang tidak dimiliki oleh kebanyakan ahli politik.

Bersemadilah dengan aman, Tuan Guru Nik Aziz. Anda akan sentiasa dikenang dan diingati.

Oleh Monyet King, https://www.facebook.com/HRH.Monyet.King/posts/869068853156240?pnref=story