Pas Bukan Lagi Sebahagian Dari Pakatan Rakyat Jika Bentang Hudud Mac ini

Pas bukan lagi sebahagian daripada rakan gabungan Pakatan Rakyat (PR) sekiranya parti itu kekal dengan keputusannya membentangkan Enakmen Undang-undang Jenayah Syariah Kelantan II (Hudud) Mac ini.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo ketika memberikan amaran itu berkata, undang-undang hudud yang hendak diperjuangkan Pas itu tidak terkandung dalam perjanjian Dasar Bersama Pakatan Rakyat antara parti itu dengan rakan gabungannya PKR dan DAP.

Kata beliau, Pas harus sedar pembentangan rang undang-undang itu tidak akan mendapat persetujuan daripada PR, malah bertentangan dengan keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan.

“Saya mahu mengingatkan Pas, sikap degil mereka dalam hal melaksanakan hukum hudud ini boleh menyebabkan parti itu bukan lagi sebahagian daripada rakan PR. Berilah komitmen kepada rakan gabungan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan kerajaan Pas Kelantan yang tetap dengan keputusannya akan membentangkan enakmen hudud pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 16 hingga 19 Mac ini.

Gobind yang juga Ketua Biro Undang-Undang DAP berkata, beliau bersama kepimpinan PKR akan berusaha menegur Pas, di samping memastikan parti yang mendakwa memperjuangkan Islam itu mematuhi Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

Jelas beliau, kepimpinan Pas wajar menghormati keputusan yang dicapai bersama dalam pembentukan PR pada 2008 itu demi memelihara persahabatan mereka.

“DAP tetap menegur Pas termasuk memberi peringatan dan amaran kepada parti itu sekiranya mereka cuba melakukan sesuatu di luar daripada dasar bersama pakatan,” katanya.