PASMA Bimbang Gandingan Hadi & Haron Din

Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi menyuarakan kebimbangan gandingan baharu menerajui PAS selepas ketiadaan Mursyidul Am, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Gandingan yang dimaksudkan itu adalah Timbalan Muryidul Am, Datuk Dr Haron Din dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Phahrolrazi dilaporkan Malaysiakini berkata prospek masa depan PAS dalam Pakatan tidak menentu dengan gandingan baharu tersebut.

“Dengan pendirian yang ada itu, nampak keadaan tak menentu.

“Jadi muktamar sangat penting,” kata Phahrolrazi.

Phahrolrazi berkata keadaan itu diburukkan lagi dengan pemenjaraan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang selama ini menjadi tulang belakang Pakatan.

“Dulu kita nampak tokoh itu kuatkan Pakatan dan tolak hubungan (PAS) dengan Umno. (Presiden PAS ketika itu Datuk) Ustaz Fadzil Noor disokong kuat Tok Guru Nik Aziz.

“Sekarang tokoh kuat Pakatan itu tidak ada,” kata Phahrolrazi kepada Malaysiakini.

Antarapos yang memetik kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali melaporkan Haron Din akan mengambil alih tugas Mursyidul Am buat sementara waktu, sehingga calon pengganti jawatan itu diputuskan oleh Majlis Syura Ulama.

“Tiada mesyuarat yang dirancang dalam masa terdekat. Sementara itu, Haron Din akan menjalankan tugas.

“Saya juga tidak menolak jika Majlis Syura bercadang membuat perlantikan dalam kalangan mereka tetapi saya tidak mendengar sebarang berita mengenainya,” kata Mustafa.

Mustafa juga mengingatkan, perlantikan Mursyidul Am ialah kuasa Majlis Syura Ulama PAS dan tidak melibatkan PAS Pusat.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat pula berpendapat perlantikan Mursyidul Am PAS sewajarnya dibuat selepas muktamar parti itu.