Pergi Mampuslah Pakatan Rakyat

Seorang pembaca bertanya kepada saya, kenapa saya tidak lagi mendedahkan salahguna kuasa, isu rasuah, penyelewengan dan sebagainya. Apa yang sebenarnya pembaca ini maksudkan adalah, kenapa saya tidak lagi menghentam kerajaan UMNO-Barisan Nasional seperti kebiasaan yang saya lakukan.

Sebenarnya, saya tidak lagi melihat sebarang sebab untuk saya terus berbuat begitu kerana tiada siapa pun yang peduli mengenai salahguna kuasa, isu rasuah, penyelewengan dan selainnya, melainkan ia mempunyai agenda politik yang tersembunyi. Sebelum Malaysia Today mendedahkan satu projek bernama Lebuhraya KIDEX, tiada siapa pun yang pernah mendengarnya. Dan ia didedahkan SETAHUN sebelum projek itu ditandatangani.

Malaysia Today telah memberikan segala butiran terperinci mengenai projek ini, termasuklah figura-figura yang ada di belakangnya. Malah, mereka yang terlibat dengan KIDEX telah mengesahkan kesemua butiran yang didedahkan oleh Malaysia Today. Tetapi tiada sebarang respon dan maklum balas dari orang awam mahu pun pembangkang. Senyap sunyi.

Setahun kemudian, perjanjian kontrak ditandatangani dan dimeterai. Hanya selepas itu barulah pembangkang melatah dan menjerit sakan setelah mendapati pihak awam tidak boleh berbuat apa-apa lagi kerana ia telah ditandatangani atau ‘fait accompli’. Kenapa tidak bangkitkan isu ini setahun yang lepas, sebelum ia ditandatangani? Kenapa membantah sekarang, setelah semuanya telah dipersetujui dan akan dimulakan pembinaannya?

Pembangkang sebenarnya boleh menghalang pembinaan lebuhraya ini, atau sekurang-kurangnya membuatkan syarat-syarat yang terkandung di dalamnya lebih menguntungkan rakyat. Tetapi mereka tidak melakukan demikian. Mereka memilih untuk berdiam diri selama setahun dan mula melatah dan menjerit setelah pembinaannya dimulakan.

Sebenarnya, pembangkan mahukan projek Lebuhraya Kidex diteruskan supaya ia boleh digunakan mereka sebagai satu alat politik untuk menekan kerajaan. Sekiranya projek ini dihalang setahun yang lepas, ia tidak akan menjadi satu isu politik.

Saya sentiasa meragui kejujuran dan keikhlasan pihak pembangkang dalam menentang penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Adakah mereka betul-betul ingin menghapuskan penyelewengan dan gejala rasuah ini? Atau gembira ianya terus wujud supaya ia akan dijadikan modal untuk menentang kerajaan? Sekiranya penyalahagunaan kuasa dan penyelewengan dihapuskan terus, sudah tentu pihak pembangkang akan terus kehabisan modal untuk menyerang kerajaan.

Ambil Selangor sebagai contoh. Pada tahun 2010, saya telah menunjukkan beberapa kelemahan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Malah saya juga mengeluarkan beberapa dokumen untuk menyokong dakwaan saya itu.

Pakatan Rakyat telah memanggil saya sebagai pembohong dan mendakwa saya sudah ‘dibeli’ oleh pihak yang tertentu (tapi mereka tidak menafikan bahawa dokumen itu adalah tulen). Mereka mencabar saya untuk kembali ke Malaysia, bersama-sama dengan bahan bukti dakwaan saya itu. Malah mereka juga menawarkan untuk membayar kos perjalanan saya itu, yang mereka tahu saya tidak mampu berbuat demikian atas sebab-sebab yang jelas.

4 tahun kemudian, setelah mereka, secara terbuka dan di depan ramai telah mengisytiharkan bahawa Khalid Ibrahim adalah Menteri Besar yang paling bersih dalam sejarah Selangor, mereka telah mendedahkan segala keburukan dan kelemahan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, dengan segala macam penyalahgunaan kuasa, rasuah dan sebagainya.

4 tahun dulu, mereka telah menggelar saya sebagai pembohong. 4 tahun kemudian, mereka memburukkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor pimpinan Khalid Ibrahim. Adakah mereka, dengan secara tidak nyata memberitahu bahawa saya sebenarnya bukan pembohong? bagaimana mereka boleh menuduh saya menipu 4 tahun dulu sedangkan kini mereka mengeluarkan benda-benda yang sama seperti yang saya dakwa, 4 tahun kemudian?

Jadi sekarang, memang betullah ada perkara yang tidak kena dalam Kerajaan Selangor ini, apabila hanya 4 tahun dahulu, tiada apa yang salah dan tidak betul di dalamnya. Dan salah satu perkara yang tidak betul itu adalah projek Lebuhraya KIDEX, yang telah saya dedahkan mengenainya setahun sebelum ianya dipersetujui, dan Pakatan Rakyat langsung tidak berbuat apa-apa mengenainya selama 2 tahun.

Seperti yang telah saya perkatakan, saya sekadar membuang masa berbicara mengenai perjuangan menentang rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan kerana pihak yang menentangnya tiada keikhlasan, baik Barisan Nasional mahu pun Pakatan Rakyat.

Antara isu panas hari ini adalah berkenaan dengan Universiti Malaya, mengenai ketiadaan kebebasan berucap dan mengenai Anwar Ibrahim yang dilarang berucap di dalam UM.

Kira-kira 30 tahun dahulu, ketika Anwar menjawat jawatan Menteri Pelajaran, saya telah mengutuskan satu surat yang agak panjang kepadanya, berkenaan beberapa isu. Sepupu saya, Walter Salmon berada di dalam pejabat saya di Kuala Terengganu dan membantu saya membetulkan tulisan bahasa inggeris saya di dalam surat itu.

Saya kemudiannya ke Kuala Lumpur dan bertemu Anwar di pejabatnya, di mana dia sempat bergurau ‘panjang betul surat tu!’. Kami kemudiannya mula membicarakan isu-isu yang saya tulis dalam surat itu.

Seperti yang saya sebutkan, terdapat banyak isu. Salah satu daripadanya adalah kebebasan berucap dan bersuara. Dan bagaimana pelajar universiti diberikan sedikit kebebasan untuk bersuara, khususnya bersuara terhadap kerajaan.

Malangnya, Anwar seperti tidak berminat dengan idea ini. Beliau merasakan, apabila terlalu banyak kebebasan diberikan kepada pelajar, pihak pembangkang yang semakin berkembang ketika itu, akan dapat menembusi pemikiran pelajar universiti dan menghasut mereka untuk menentang kerajaan.

Itulah Anwar Ibrahim. Ketika beliau berada di dalam Kerajaan dan memegang jawatan Menteri Pelajaran, beliau sendiri berkata ia adalah satu tindakan yang kurang bijak apabila memberikan pelajar universiti kebebasan yang berlebihan, kerana ia hanya akan menguatkan pihak pembangkang.

Hari ini, Anwar merungut mengenai kurangnya kebebasan dan bagaimana pelajar universiti dilarang untuk menjemput beliau untuk berceramah di universiti. Dan itulah soalan yang saya ajukan kepadanya 30 tahun dahulu, lebih kebebasan kepada pelajar universiti. Hari ini beliau merungut, sedangkan 30 tahun dahulu beliau tidak bersetuju untuk pelajar diberikan lebih kebebasan.

Adakah saya telah berputus asa dengan usaha ini? Sebenarnya, saya telah berputus asa 4 tahun yang lepas, apabila pembangkang langsung tidak boleh menerima kritikan. Dan kini, mereka mereka mengulangi semula apa yang telah saya perkatakan 4 tahun sudah.

Dan apabila saya mempersoalkan pendirian solidariti Pakatan Rakyat, pendirian ‘Setuju untuk Tidak Setuju’ yang entah apa-apa yang tak pernah konsisten, mereka menuduh saya agen kerajaan pula.

Dan hari ini, malah Lim Kit Siang sendiri mengakui yang ini adalah benar tanpa berkata, ‘Inilah sebenarnya yang diperkatakan oleh Raja Petra Kamaruddin selama ini dan kita menghentam beliau kerana bercakap tentangnya’.

PERGI MAMPUSLAH PAKATAN RAKYAT!

Oleh Raja Petra Kamarudin,
http://www.malaysia-today.net/pergi-mampuslah-pakatan-rakyat/