Pihak pembelaan gagal buktikan Konspirasi Politik untuk penjara Anwar

Pihak pembelaan Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal membuktikan bahawa ada konspirasi politik untuk memenjarakan Ketua Pembangkang itu. Demikian rumusan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan dalam keputusan kes liwat beliau hari ini.

Jika dakwaan konspirasi politik itu tidak dapat disokong oleh bukti yang munasabah maka perbicaraan kes harus menyusur jalur bahawa ia adalah satu kes jenayah – benar atau tidak Anwar meliwat bekas pembantunya itu tujuh tahun lalu.

Hujah bahawa ada konspirasi untuk meragut kebebasan politiknya tidak dapat dibuktikan dengan sokongan bukti kerana Anwar telah memilih untuk mempertahankan hujah itu dari kandang tertuduh dan bukan dari kandang saksi.

Akhirnya, Mahkamah Persekutuan tiada pilihan selain mengenepikan dakwaan konspirasi politik dalam kesnya kerana dakwaannya itu tidak boleh disoal balas oleh pendakwa sekaligus menafikan pula mahkamah peluang untuk mempertimbangkan merit hujah Anwar itu.

Lantas dalam menghakim dakwaan yang dibuat oleh Saiful Bukhari Azlan bahawa beliau diliwat oleh Anwar, maka perkara yang paling asas yang perlu diberi tumpuan oleh mahkamah ialah persoalan sama ada jenayah itu berlaku atau tidak.

Sudah pasti bagi merungkai persoalan ini, ia mesti bermula dengan pemeriksaan terhadap kewibawaan dan integriti pengadu iaitu Saiful sendiri. Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Saiful adalah seorang saksi yang berwibawa.

Rumusan lain panel yang dipengerusikan oleh oleh Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Shariff; dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdul Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, dan Datuk Ramly Ali, ialah:

1. Bahan-bahan bukti dalam senarai B yang dikemukakan oleh Saiful adalah tidak tercemar. Ini termasuklah rakaman kamera litar tertutup atau CCTV, sampel DNA Anwar, keterangan pakar, dan pelincir KY yang digunakan.

2. Sampel DNA Anwar diperolehi secara sah dan adil.

3. Rantaian proses penyimpanan sampel DNA Anwar tidak terputus dan integriti sampel berkenaan tidak tercemar.

4. Dakwaan pihak pembelaan bahawa sampel DNA Anwar sengaja “ditanam” ke atas tubuh Saiful, gagal dibuktikan.

5. Kesaksian pakar perubatan dan DNA pihak pendakwa adalah berwibawa.

6. Anwar mengemukakan senarai 13 saksi alibi tetapi tidak seorangpun dipanggil untuk menyokong kes pembelaannya.

7. Kenyataan bela diri Anwar yang tidak bersumpah kerana dilakukan dari kandang tertuduh dan bukan kandang saksi menyebabkan keterangannya tidak boleh diterima kerana tidak boleh disoal balas atau dicabar.

8. Anwar tidak pernah menafikan bahawa beliau memang berada di kondominium berkenaan pada tarikh dan waktu kejadian. Beliau dilihat memasuki kawasan letak kereta dan menggunakan lif bangunan berkenaan.

9. Mahkamah Tinggi silap membebaskan Anwar daripada tuduhan liwat pada 2012 kerana meletakkan aras ujian kewajaran pembuktian seratus peratus adalah terlalu tinggi.

10. Kesaksian pakar perubatan yang dikemukakan ditolak kerana tidak disokong dengan bukti ujian praktikal.

11. Mahkamah merumuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya melampaui sebarang keraguan kerana pihak pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan bahawa sampel air mani Anwar ditemui dalam dubur Saiful.

Yang nyata ikhtiar Anwar untuk menyelubungi perbicaraan berkenaan dengan warna dan konspirasi politik nampaknya memakan diri. Malah di saat-saat akhir sebelum keputusan dikeluarkan, Anwar cuba menggunakan gertakan politik dengan membuat kesimpulan bahawa jika beliau didapati bersalah, ia bermakna badan kehakiman Malaysia korup.

Sekaligus pendekatan seumpama itu sedikit sebanyak mengendurkan peluang beliau dalam kes berkenaan. Menggunakan pendekatan politik untuk membenarkan kedudukannya dalam kes ini sekaligus melarutkan keberkesanan hujah pembelaan yang diusahakan oleh 14 peguam.

Seharusnya penghujahan pembelaan mesti berteraskan perkara teknikal, bahan bukti dan kesaksian yang tinggi kewibaaan dan integritinya. Namun Anwar memasungkan segala usaha pembelaan dengan menyimpulkan bahawa perbicaraan itu adalah konspirasi politik.

Agak malang perbicaraan selama 6 tahun lima bulan sepuluh hari yang membabitkan 27 saksi pendakwaan, 8 saksi pembelaan dalam 86 kali sesi perbicaraan, dipudarkan oleh teori Anwar bahawa beliau diseret oleh Saiful ke mahkamah kerana motif politik.

Walhal beliau sendiri menerima Saiful berkhidmat dalam pejabatnya atas dasar sukarela dan mahu membantu menggapai impian dan perjuangan politiknya.