PM Arah Siasat Pihak Sabotaj Ekonomi Negara

Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan agensi kerajaan yang berkaitan supaya mengambil tindakan terhadap dakwaan tentang kegiatan individu tertentu mensabotaj ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata, bukti perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum tindakan sewajarnya diambil terhadap individu terbabit.

“Kita kena peroleh bukti terlebih dahulu seperti apa yang didakwa. Kita berharap badan kerajaan yang relevan akan ambil tindakan sewajarnya,” kata­nya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Kepala Batas, Reezal Merican Naina Merican menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) menyiasat individu-individu yang cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan melalui urus niaga mata wang negara bagi menaja dan menjalankan operasi beberapa media baharu untuk melancarkan fitnah terhadap kerajaan.

Beliau berkata, sekiranya perlu, kaedah pengawalan short position melalui mekanisme yang ada di negara ini dan turut diamalkan di Australia dalam mengawal urus niaga mata wang perlu dilaksanakan untuk membendung aktiviti berkenaan.

Katanya, kajian juga perlu dilakukan sama ada perbuatan sabo­taj itu boleh didakwa di bawah Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2010 untuk memastikan pencegahannya lebih berkesan.