Presiden BAR Cuba Kelirukan Rakyat Berhubung Kes Liwat Anwar

Perkara pertama yang tercetus di minda kami apabila kami membaca kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Majlis Peguam pada 11 Februari oleh Presidennya, Christopher Leong berhubung dengan sabitan bersalah kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah bagaimana Leong, sebagai Presiden Majlis Peguam telah secara tidak tepat dan tidak wajar menafsir undang-undang dan fakta kes tersebut. Kami sangat terkejut bagaimana seorang Presiden, yang sepatutnya mewakili ahli-ahli yang arif dalam undang-undang di dalam Majlis Peguam boleh mengeluarkan kenyataan yang begitu mengelirukan. Sebagaimana yang disebutkan oleh Leong, “Kita tinggal di dalam dunia yang pelik”.

Sesiapa sahaja yang telah membaca seksyen-seksyen di bawah Kanun Keseksaan dan ringkasan akhbar berkenaan dengan kes ini akan dapat menyimpulkan bahawa tiada tafsiran lain di bawah seksyen 377A dan 377B Kanun Keseksaan selain dari tafsiran bahawa Saiful Bukhari adalah mangsa.

Berbeza dengan pendapat yang sering dipercayai oleh orang ramai, seksyen 377A dan 377B dengan tegas berkata, menjadi homoseksual dan menjalankan aktiviti homoseksual bukan satu kesalahan; ia adalah satu jenayah sekiranya seseorang individu memasukkan zakarnya ke dalam dubur seorang lagi individu, tanpa mengambil kira individu itu lelaki atau perempuan, dengan rela atau pun tidak rela. Seruan untuk mendakwa mangsa serangan seksual, dengan rela atau tidak rela, kerana membenarkan jenayah itu berlaku, seperti yang telah dicadangkan oleh Presiden Majlis Peguam, adalah sangat mengarut, dan akan dijadikan kayu ukur yang sangat bahaya untuk kes-kes sebegini pada masa hadapan. Leong sepatutnya lebih tahu bahawa perkara ini tidak akan dapat dipertahan di dalam undang-undang. Ini adalah kenyataan yang mengelirukan dari Leong;

“Adalah mengejutkan dan memeranjatkan mengapa si pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang turut terlibat di dalam kes liwat ini, tidak didakwa kerana bersubahat di bawah seksyen 377A dan 377B, dibaca bersama seksyen 109, Kanun Keseksaan”.

Sesiapa sahaja akan terfikir bahawa ia adalah menjadi tugas Majlis Peguam Malaysia untuk menjelaskan segala salah faham berkaitan undang-undang sekiranya ia berlaku dalam kalangan masyarakat awam. Ketika penghakiman mahkamah sememangnya sentiasa terbuka untuk dibincang dan didebatkan, Majlis Peguam juga mesti sedar dengan peranan utamanya iaitu untuk sentiasa melindungi badan kehakiman dari serangan yang tidak adil dan bersifat menjatuhkan. Malah, Seksyen 42 di dalam Akta Profesion Undang-Undang 1976 dengan jelas menerangkan bahawa, salah satu objektif utama Majlis Peguam adalah ‘untuk melindungi pentadbirang undang-undang Malaysia daripada diheret ke dalam kebencian dan penghinaan’.

Daripada mematuhi dan melaksanakan apa yang patut dilaksanakan, Presiden Majlis Peguam telah memilih memberi perhatian kepada perkara-perkara yang begitu mengelirukan, malah lebih teruk, mengambil bahagian di dalam usaha penyebaran perkara-perkara mengelirukan tersebut, lalu menyumbang kearah ketidaksucian badan kehakiman. Di dalam keadaan ini, bukan sahaja Majlis Peguam telah gagal melaksanakan peranannya dalam memelihara badan kehakiman, malah telah memalukan mahkamah dengan meletakkan kes ini di dalam pertimbangan, situasi dan keadaan yang tidak adil dan mengelirukan, dengan menyuap persepsi ‘Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dianiaya, dan bukannya didakwa kerana melakukan jenayah’.

Adalah sangat penting untuk diperkatakan bahawa Majlis Peguam Malaysia, telah gagal untuk menjelaskan terdapat banyak lagi kes seumpama ini yang telah berlaku sebelum ini, dimana tertuduh telah didakwa dan disabitkan bersalah di bawah seksyen 377B, Kanun Keseksaan. Terdapat satu kes yang berlaku sebelum kes Anwar ini (Abd Rahim bin Abd Rahaman Vs Pendakwa Raya), di mana mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara lebih dari 5 tahun. Tindakan berdiam diri oleh Majlis Peguam ke atas kes-kes seumpama ini telah menimbulkan persepsi pendakwaan terpilih, seperti yang telah disebutkan oleh Leong sebagai ‘jarang…..digunakan’, walaupun sebenarnya ia tidaklah jarang digunakan.

Kenyataan menakjubkan Leong ini secara jelas telah mengelirukan masyarakat awam. Kegagalan untuk menjelaskan undang-undang dan fakta yang berkaitan adalah satu perkara, namun dengan sama sekali mentafsirnya ke arah satu perkara yang lain, adalah lebih menyedihkan. Sebagai ahli Majlis Peguam, kami menyeru Leong agar membetulkan kenyataannya ini, membuat permohonan maaf secara terbuka dan memperbetulkan salah faham badan antarabangsa akibat dari kenyataan beliau ini. Jika Leong gagal berbuat demikian, kami menyeru beliau untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden Majlis Peguam Malaysia.

Oleh Lukman Sheriff Alias dan Azril Mohd Amin,
Kedua-duanya merupakan peguam di Kuala Lumpur dan ahli Majlis Peguam.
LINK