Sirul Tidak Diarahkan Oleh Sesiapa

Peguam Hasnal Rezua Merican yang mewakili Sirul dalam kes itu berkata, Sirul sebelum ini tidak pernah berkata dia diarahkan sesiapa.

Seorang peguam jenayah, Hafiz Zainal pula berkata, jika polis ingin membuka kes baharu terhadap Sirul, ia perlu diletakkan di bawah kesalahan dan seksyen lain.

Menurutnya, pihak pendakwaan tidak boleh menggunakan tuduhan yang sama kerana konsep double jeopardy dalam undang-undang melarang tuduhan sama dibuat ke atas seseorang tertuduh bagi kes sama selepas mahkamah telah membuat keputusan muktamad.

Sementara itu katanya, kenyataan Sirul itu tidak memberi apa-apa kesan terhadap keputusan kes sedia ada.

“Kes ini sudah sampai kepada Mahkamah Persekutuan. Keterangan pembelaan diri Sirul semasa di Mahkamah Tinggi sebelum ini tidak pernah menyebut ada menerima arahan daripada mana-mana pihak atau sebab-sebab lain semasa perbicaraan.

“Jadi, ia boleh dianggap khabar angin sahaja,” katanya.

Menurutnya, kes baharu boleh dibuka untuk menyiasat keterangan terbaharu Sirul itu kerana kes sebelum ini sudah sampai ke peringkat tertinggi, iaitu Mahkamah Persekutuan dan tidak boleh disiasat semula.

“Apa-apa kenyataan Sirul kini tidak boleh diterima pakai dan dijadikan sebagai bukti atau keterangan baharu untuk dikaitkan dengan keputusan mahkamah tempoh hari.

“Sepatutnya, keterangan seperti ini dimasukkan semasa proses membela diri sebelum ini. Apa juga keterangan sekarang hanya berunsur akademik sahaja,” katanya.

Menurutnya, dalam sesuatu kes mahkamah, fakta baharu yang dikemukakan pada masa rayuan atau selepas keputusan tidak mempunyai merit.

“Siasatan semula akan memakan masa memandangkan kes ini sudah lama. Biasanya, ia tidak dibuka semula.

“Jika kertas siasatan baharu dibuka, sudah pasti menimbulkan rasa sangsi pelbagai pihak mengapa keterangan ini tidak dinyatakan semasa hari pembelaan sebelum ini. Mengapa setelah dijatuhkan hukuman, baru nak beri kenyataan lain?

“Adakah kata-kata Sirul itu bersandarkan bukti dan akuan bersumpah? Jika ada bukti, mengapa ia tidak diberikan sebelum ini? Selagi tidak dikemukakan di mahkamah, ia hanya dianggap sebagai cerita sahaja,” katanya