Sri Sanjeevan Cuba Menyogok Pegawai Penyiasat Kes Liwat Anwar

Pegawai penyiasat kes liwat II, Superintendan Judy Blacious Pereira (Jude Pereira) menolak tawaran Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim supaya memalsukan keterangan berkaitan dengan kes tersebut.

Tawaran Anwar itu dibuat oleh orang perantaraannya, Sri Sanjeevan Ramakrishnan, Pengerusi MyWatch dalam pertemuan di kafe PJ Hilton, seminggu sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU 13).

Perkara itu didedahkan oleh Raggie Jessy dalam artikelnya bertajuk “Jude : I Was Asked To Subvert The Trial” yang disiarkan Malaysia-today.net (LINK)

Raggie Jessy adalah seorang penulis yang mendapat sumber pertama daripada Jude Pereira di mana beliau (Jude) telah bersetuju pendedahan ini disiarkan.

PERTEMUAN JUDE DENGAN SANJEEVAN

“Saya (Jude) bertemu Sanjeevan di kafe di PJ Hilton, dia (Sanjeevan) sedang duduk di sebuah meja dilihat sedang meneliti beberapa dokumen.

“Sebaik saya duduk dengannya, dia memberitahu saya bahawa dia sedang membantu Anwar untuk kempen PRU 13 dan menurutnya PKR akan pasti dapat memenangi PRU itu.

“Sanjeevan memaklumkan kepada saya yang pada ketika itu, Anwar sedang berkempen di Ipoh.

“Dia begitu berterus terang, dia meminta adakah saya boleh membuat satu kenyataan media bahawa memang wujud konspirasi dalam siasatan saya terhadap Anwar.

“Sanjeevan turut memberitahu saya bahawa saya akan dijaga dengan baik jika PKR menang,” kata Jude.

Jude berkata beliau tidak boleh membuat kenyataan sebagaimana yang diminta itu kerana siasatan beliau menunjukkan hasil sebaliknya iaitu tiada wujudnya sebarang konspirasi dalam kes tersebut.

“Kemudian, dia meminta saya hanya berkata ‘ada campurtangan kerajaan dalam siasatan’ yang mana (permintaan itu juga) turut saya tolak.

“Saya kemudian mencadangkan jika mereka mahu saya membantu, saya boleh memberikan kenyataan bahawa saya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Anwar,” kata Jude.

Ketika dalam pertemuan itu, Jude memberitahu Sanjeevan kemudiannya telah menghubungi Anwar dengan telefon bimbitnya.

Sanjeevan memaklumkan kepada Anwar bahawa ketika itu dia sedang bersama Jude.

Selepas itu, Sanjeevan memberikan telefon bimbitnya itu kepada Jude dan meminta beliau bercakap dengan Anwar.

“Saya hanya mengucapkan semoga Anwar berjaya dalam PRU-13 dan memaklumkan saya tidak boleh membuat kenyataan seperti yang dikehendakinya tetapi saya berkata saya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes liwat beliau.

“Anwar menjawab bahawa ia mencukupi untuk saya dengan hanya berkata sedemikian,” kata Jude.

Kemudian, Jude berkata Sanjeevan telah mencadangkan supaya beliau menulis sesuatu dalam kenyataan media yang boleh menyokong Anwar.

Sanjeevan juga berkata dia akan memanggil sidang akhbar pada sebelah pagi jika Jude bersetuju.

“Sanjeevan kemudiannya telah meminta saya supaya pergi ke sebuah hotel yang baharu di KL Sentral dan bertemu dengan seseorang yang akan menunjukkan kepada saya apa yang telah ditulis bagi pihak saya, untuk saya berikan kepada pihak pada keesokan harinya.

“Dia juga memberitahu saya, saya akan dijaga dengan baik di hotel berkenaan dan saya boleh bermalam di situ kerana semuanya sudah dibiayai.

“Oleh kerana ingin melihat sejauhmana perkara itu berlanjutan, saya telah bersetuju,” kata Jude.

Menurut Jude, apabila beliau tiba di hotel berkenaan kira-kira pukul 8 malam, beliau bertemu dengan seorang lelaki India Muslim yang berjanggut dan seorang lagi yang sedang duduk dekat dengan sebuah meja.

Jude berkata beliau telah memperkenalkan dirinya dan mengatakan beliau telah bertemu Sanjeevan sebelum diminta berjumpa dengan mereka.

“Lelaki berjanggut itu sudah pun menyiapkan rangka satu surat dan meminta saya membacanya, jika saya bersetuju mereka akan menghubungi pihak media pada keesokan paginya.

“Saya terkejut apabila membaca satu surat yang mengandungi kira-kira 100 patah perkataan yang mengatakan bahawa saya sebagai Pegawai Penyiasat (telah mengesahkan bahawa) Anwar sebenarnya tidak bersalah dan dia (Anwar) didakwa tanpa sebab yang kukuh serta bukti yang ada sengaja direka cipta terhadapnya,” jelas Jude

Jude berkata petikan itu membuatkan beliau dibodohkan dan memperjudikan integriti tugas beliau sebagai pegawai polis.

“Saya enggan memenuhi permintaan mereka dan terus beredar dari hotel berkenaan.

“Saya memandu pulang ke rumah saya di Ipoh pada malam yang sama, menyesali saya telah berjumpa dengan Sanjeevan dan kawan-kawannya, yang bertujuan untuk mengeksploitasi saya untuk tujuan mereka.

“Kemudian pada hari yang sama, Tan Sri Musa (Hassan) menghantar SMS kepada saya dan bertanya kepada saya bagaimana keputusan mesyuarat yang telah saya hadiri itu.

“Apabila saya memberitahunya apa yang terjadi itu, beliau telah menghantar SMS kepada saya dengan mengatakan bahawa saya telah lakukan perkara yang betul dalam menjaga integriti saya,” kata Jude.