TEMURAMAH KES LIWAT BERSAMA TS SHAFEE – 1

Menurut TAN SRI DR. MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH, keterangan terhadap Anwar dalam kes ini terlalu kuat untuk membuktikan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bersalah sehingga tiada seorang pun daripada 14 orang peguam Anwar berani mempertikaikan fakta kes tersebut.

SOALAN: Selepas 10 Februari lalu, Tan Sri berkata secara profesional berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dan berpendapat bahawa keadilan akhirnya ditegakkan. Bagaimana pula secara peribadi?

MUHAMMAD SHAFEE: Dari segi peribadi, saya tidak ada isu langsung sebab itu satu tugas yang diberikan kepada saya oleh Peguam Negara. Jadi saya laksanakan. Kalau ada pun dari segi peribadi, hanya berkenaan sama ada saya sendiri percaya dengan kesalahan Anwar sebelum saya membuat tugas rasmi tersebut. Sebab, kalau saya sendiri tidak percaya dan saya rasa dia dianiayakan, saya tidak akan buat kes itu. Tetapi saya percaya apabila saya lihat rekod rayuan tersebut. Hari pertama saya dapat (rekod rayuan), saya sudah baca sampai pagi sebab saya hendak tahu dengan jelas. Tidak ada langsung keraguan bagi saya yang Anwar salah. Saya terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi melepaskan Anwar dan sebab asas hanyalah berkenaan dengan beg plastik.

Jadi, Mahkamah Rayuan kata kalau itu sahaja sebabnya, sebab itu tidak bagus kerana kita ada banyak kes keadaan yang sama. Ada kotak yang hancur tetapi di dalam kotak itu ada bahan bukti yang termeterai dalam plastik-plastik berasingan tetapi mahkamah terima asalkan boleh buktikan benda itu tidak tercemar. Semasa ahli kimia terima, dia kata sampel-sampel itu tidak tercemar dan masih lagi sempurna. Satu lagi perkara yang ketara ialah apabila ahli kimia periksa, dia dapat profil asid deoksiribonukleik (DNA) “Lelaki Y”. Empat-empat itu dapat “Lelaki Y”. Kalau kita bandingkan standard dalam dunia, negara kita dikatakan mempunyai keperluan yang paling tinggi sekali. Kita minta 16 bacaan sepadan.

Dalam tubuh kita, DNA kita ini, berjuta-juta dan trilion lokus (tempat) yang kita ada. Cap jari kita pun berjuta-juta dan trilion lokus. Macam-macam punya berlainan tetapi kita perlukan 16 sahaja. Kalau 16 bacaan sepadan jari kita dengan cap jari, itulah orangnya. Kebarangkaliannya ialah satu bersamaan dengan beberapa quadrilion, bukan trilion. Ertinya mustahil orang lain yang ada sama cap jari termasuk dengan dia (Anwar) ini. Tidak ada jari orang lain yang sama bacaan dengan bacaan yang kita kata 16 tadi.

Sebab negara kita, ada undang-undang yang tidak wajibkan DNA diberi secara sukarela oleh orang yang kena tuduh seperti Anwar. Negara-negara lain diwajibkan. Kalau tidak beri, akan jadi kesalahan undang-undang. Oleh sebab itu, Anwar ambil kesempatan tidak mahu beri langsung DNA. Kalau dia tidak salah, apa yang dia takut tetapi itu hak dia. Apabila dia ditangkap, DNA Saiful sudah hantar kepada ahli kimia dan ahli kimia sudah tahu keputusan tetapi kita tidak tahu siapa “Lelaki Y”. Apabila Anwar ditempatkan di dalam lokap, dia diberi tuala Good Morning, berus gigi dan ubat gigi. Dia sendiri bawa masuk satu botol minuman. Isterinya beri dia dua helai tuala yang bersaiz medium.

Apabila dia bangun pagi itu, dia sudah gunakan berus gigi dan ada pengawal yang dengar dia memberus gigi. Air itu juga habis dia minum tetapi botol dia tinggalkan. Dia tinggal ubat gigi, berus gigi dan tuala Good Morning. Yang ini dihantar kepada ahli kimia yang lain. Ahli kimia yang pertama itu namanya Dr. Seah Lay Hong. Ahli kimia kedua yang pakar DNA ini namanya Nor Aidora Saedon. Dia memeriksa DNA tanpa tahu menahu siapa punya DNA, tetapi dia diberitahu lokus yang sama untuk buat perbandingan. Apabila dia periksa, dia pun kata “Lelaki Y” tetapi tidak tahu profil DNA “Lelaki Y” yang itu dan yang ini, sama atau tidak. Apabila Nor Aidora bandingkan, 100 peratus sepadan. Habis cerita. Begitulah betapa kukuhnya kes ini.