Tiada Kenaikan Tarif Elektrik tahun ini

Tiada kenaikan tarif elektrik di seluruh negara sepanjang tahun ini, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili.

Beliau berkata jaminan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan tidak akan menaikkan tarif elektrik dalam penstrukturan semula Bajet 2015 itu juga turut meliputi keperluan di negeri Sabah.

“Kerajaan pusat memutuskan tidak ada kenaikan harga pada tahun ini. Walaupun mengikut sistem yang dipraktik sekarang, setiap enam bulan kadar ini harus disemak untuk mengurangkan subsidi, namun kerajaan memutuskan tiada kenaikan tarif elektrik pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Pasar Tanjong dan Pasar Ikan Tawau, di sini, Khamis.

Maximus berkata, seharusnya, tarif itu naik pada tahun lalu tapi kerajaan mengambil keputusan menanggung subsidi dengan simpanan daripada penjana bebas sebanyak RM800 juta agar tarif tidak dinaikkan.

“Keputusan menaikkan tarif elektrik itu telah pun ditangguhkan meliputi Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

“Untuk tahun hadapan pula, kita kena tengok harga minyak dahulu, tapi kita harap ia stabil iaitu tidak terlalu tinggi dan juga tidak terlalu rendah kerana ia mempengaruhi ekonomi negara,” katanya.