Akta Kawalan Harga & Anti Pencatutan 2011

Ramai yang merasa risau dan gelisah apabila GST dilaksanakan pada April ini, harga barangan akan naik mendadak. Ini ditambah lagi dengan sifat sesetengah peniaga yang suka mengambil kesempatan ke atas apa-apa dasar kerajaan untuk mereka jadikan sebab menaikkan harga barangan dan mengambil untung berlebihan.

Tahukan anda bahawa Kerajaan telah meluluskan satu undang-undang baru pada tahun 2011 yang dinamakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011?

Akta ini digunakan untuk memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan secara sesuka hati. Ini juga termasuk dengan tindakan menyorokkan barangan kawalan untuk menaikkan harga dengan alasan kekurangan bekalan.

Bagi menghadapi pelaksanaan GST, Kementerian Kewangan Malaysia pada tahun lepas telah meluluskan tambahan 427 perjawatan kepada KPDNKK untuk memantau harga dan menjalankan penguatkuasaan.

Di bawah akta ini, Menteri KPDNKK berhak melantik seorang Pengawal Harga yang akan menentukan harga minima dan maksima barangan di Malaysia. Harga yang ditentukan adalah munasabah dan mengambil kira segala aspek termasuk cukai yang dikenakan.

Penolong Pengawal Harga pula dilantik seberapa banyak yang perlu untuk melaksanakan penguatkuasaan dan siasatan berdasarkan akta ini.

Jika mana-mana peniaga yang disabitkan kesalahan ini, mereka boleh dikenakan hukuman yang berat seperti berikut:

PENALTI
18. Mana-mana orang yang melakukan mana-mana kesalahan di bawah Bahagian III atau Bahagian IV boleh, apabila disabitkan—

(a) jika orang itu suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit dan, bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi satu juta ringgit; atau

(b) jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan,didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua- duanya dan, bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
http://www.kpdnkk.gov.my/kpdnkkv3/images/KPDNKK/PDF/Akta-Akta/kpdnkk/723_AKTA%20KAWALAN%20HARGA%20DAN%20ANTIPENCATUTAN%202011.pdf

SIASATAN
Jika Penolong Pengawal Harga mendapat mana-mana maklumat mengenai aktiviti perniagaan yang melanggar akta ini, Penolong Pengawal Harga boleh melaksanakan kuasanya dengan atau tanpa waran (atas beberapa sebab) untuk menjalankan siasatan.

Ini termasuk menyita, menggeledah, menyemak segala premis perniagaan, buku, rekod, akaun, dokumen, data dan komputer.

GANJARAN PEMBERI MAKLUMAT
Tahukan anda juga bahawa dibawah akta ini, pemberi maklumat yang memberikan maklumat sehingga tertuduh boleh disabitkan kesalahan, dengan permohonan Pegawai Pendakwa boleh mendapat ganjaran:

55. Dalam hal sabitan yang melibatkan denda, mahkamah yang mengenakan denda itu boleh, atas permohonan pegawai pendakwa, mengarahkan pembayaran mana-mana bahagian denda itu, mengikut perkadaran yang difikirkan patut oleh mahkamah tetapi dalam apa-apa hal tidak melebihi setengah daripada denda itu, kepada orang yang memberikan maklumat yang membawa kepada sabitan itu.
http://www.kpdnkk.gov.my/kpdnkkv3/images/KPDNKK/PDF/Akta-Akta/kpdnkk/723_AKTA%20KAWALAN%20HARGA%20DAN%20ANTIPENCATUTAN%202011.pdf

Dengan adanya akta ini, kerajaan mampu memastikan bahawa harga barangan tidak akan dinaikkan sewenang-wenangnya oleh peniaga. Tetapi rakyat juga perlu menjalankan tanggungjawab dan memberi kerjasama kepada kerajaan dengan melaporkan segala kegiatan atau aktiviti peniaga yang menaikkan harga barang.

Walaupun pemantauan sudah dibuat, tetapi ianya masih belum cukup untuk meliputi seluruh negara tanpa kerjasama rakyat.