Azmin Tiada Pelan Atasi Gangguan Bekalan Air Selangor

Dalam menyatakan pendirian berkenaan pelaksanaan hukum Hudud, Menteri Besar Selangor telah meletakkan keutamaan kepada melaksanakan prinsip Fiqh Al-Awlawiyyat, Maslahat Ummah dan Maqasid Syariah terlebih dahulu.

Sehubungan itu, kami ingin menyarankan Kerajaan Negeri Selangor memastikan perkhidmatan bekalan air bersih yang terbaik kepada rakyat yang saya pasti adalah sebahagian dari prinsip yang telah disebutkan di atas.

Kerajaan Negeri sehingga kini hanya memberi kenyataan retorik tanpa pelan tindakan konkrit dalam menghadapi masalah gangguan bekalan air terawat yang terlalu kerap berlaku di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur walaupun tidak ada masalah bekalan air mentah.

Apabila penempatan dan bangunan perkhidmatan awam seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang terkesan daripada masalah gangguan air ini, jelas membuktikan Menteri Besar gagal memantau secara dekat permasalahan ini.

Kami cadangkan pentadbiran negeri menghidupkan semula jawatankuasa khas (taskforce) yang ditubuhkan oleh bekas Menteri Besar Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim khusus untuk memantau bekalan air serta memberi laporan dua kali sehari berkenaan masalah yang dihadapi dan kawasan-kawasan yang terlibat.

Dalam isu yang berkaitan, kami merasakan sikap berdolak dalih dalam meneruskan formula holistik melalui penstrukturan semula industri air Selangor – seperti yang diambil oleh kerajaan negeri sebelum ini – telah menyumbang kepada gangguan bekalan air bersih hari ini.

Pendekatan memberi ‘laluan mudah’ yang diambil oleh Kerajaan Negeri kepada Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH) yang telah diberi lesen sementara walaupun menolak tawaran penstrukturan semula telah menggangu kelicinan pengambilalihan tiga syarikat konsesi yang lain.

Menteri Besar Selangor perlu bangun dan proaktif untuk menyelesaikan masalah gangguan bekalan air bersih kerana tempoh bulan madu beliau sudah berakhir. Malah sesi terjah yang cuba dipopularkan beliau sudah tidak kedengaran sebaliknya masalah sampah sarap tidak selesai malah bertambah di merata tempat.

Mungkin beliau perlu meluaskan sesi terjah ke kolam, loji pembersihan air dan jangan lupa terjah juga syarikat konsesi yang nampaknya degil dan menyusahkan rakyat Selangor.

Oleh Faekah bt Husin,
Pegawai Khas kepada ADUN Pelabuhan Klang &
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.