Azmin Yang Gagal Tunaikan Tanggungjawab dibawah Perjanjian Air yang Dibatalkan Beliau

Putrajaya menafikan tuduhan bahawa kerajaan persekutuan menuntut tanah percuma daripada Selangor, sebaliknya menegaskan Menteri Besar Azmin Ali gagal menunaikan tanggungjawabnya di bawah perjanjian air yang dibatalkan sendiri oleh beliau.

Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata Azmin cetek pengetahuan mengenai terma-terma Perjanjian Utama Air yang dimeterai oleh Putrajaya dan Selangor September lalu.

“Tanah tersebut bukan diambil terus tetapi cuma untuk pajakan selama 45 tahun. Selepas itu ia dikembalikan semula kepada kerajaan Selangor.”

“Jadi apa yang Azmin cakap tidak betul. Beliau tidak faham..tanah tersebut sudah pun dimasukkan dalam definisi aset (di dalam perjanjian),” katanya.

Azmin menuduh Putrajaya cuba merampas “kedaulatan” ke atas tanah dan aset air Selangor sebagai justifikasi membatalkan perjanjian yang terdahulu.

“Percanggahan daripada Perjanjian Utama yang cuba dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat akan menyaksikan Selangor hilang kedaulatan ke atas tanah dan aset air,” kata Azmin pada sidang medianya di lobi Parlimen hari ini.

Azmin berkata beliau terpaksa mengambil keputusan membatalkan perjanjian itu meskipun sebelum ini memberi komitmen untuk menghormatinya.

“Kegagalan untuk melaksanakan Perjanjian Utama tersebut adalah akibat pendirian terkini Kerajaan Persekutuan yang enggan menghormati prinsip dan semangat Perjanjian Utama yang ditandatangani pada 12 September 2014,” kata beliau.

Bagaimanapun Ongkili menjelaskan kerajaan persekutuan memohon tempoh lanjutan untuk melaksanakan Perjanjian Utama itu kerana kerajaan negeri pimpinan Azmin gagal melaksanakan peruntukan tertentu yang dipersetujui.

Ini termasuk kegagalan syarikat Air Selangor memindahkan aset air kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bagi membolehkan PAAB menyediakan peruntukan RM1.68 bilion.

Peruntukan itu adalah bagi membantu kerajaan negeri menerusi Air Selangor mengambil alih syarikat konsesi air seperti Syabas, Puncak Niaga dan ABASS.

Beliau berkata kerajaan Selangor gagal menyelesaikan isu-isu berkenaan bagi membolehkan Perjanjian Utama itu dilaksanakan meskipun diberi tempoh lanjutan diberikan.

“Sebaliknya MB Selangor mengumumkan kerajaan Selangor tidak berhasrat melanjutkan Perjanjian Utama,” kata beliau.

Ongkili juga menegaskan kerajaan negeri tidak harus mengaitkan pembinaan loji rawatan Langat 2 dengan Memorandum Persefahaman ( MOU) dan Perjanjian Utama yang ditanda tangani September lalu.

Pembinaan loji rawatan itu adalah projek kerajaan persekutuan sepenuhnya namun tertakluk kepada kelulusan tertentu daripada kerajaan negeri.

Ongkili menggesa Azmin menghormati persetujuan yang telah dimeterai itu.

“Saya ingin menegaskan bahawa tindakan kerajaan Selangor adalah bercanggah dengan Perjanjian Utama MoU yang telah ditandatangani. Pelaksanaan Langat 2 sebenarnya tidak ada kaitan dan tidak tertakluk kepada Perjanjian Utama ini.

“Pada hemat saya kerajaan Selangor lah yang telah melanggar MoU dan HoA,” kata beliau.

“Oleh itu saya meminta kerajaan Selangor untuk menghormati persetujuan yang dimeterai dan tidak lagi mengarahkan pihak berkuasa menangguhkan pengeluaran permit dan kelulusan yang diperlukan untuk kerja-kerja pembinaan LRAL2,” tegasnya.