Bar Council Sepatutnya Bangkit Mempertahankan Sistem Kehakiman Negara

Usul beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang mengecam tindakan dan kelakuan lima Hakim Mahkamah Persekutuan membabitkan kes Liwat 2 membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 11 Mac lalu dianggap keterlaluan dan menghina mahkamah.

Malangnya tindakan yang disifatkan sebagai melampau itu tidak diendahkan Majlis Peguam Malaysia yang sepatutnya bangkit melindungi sistem kehakiman negara itu.

Hari ini, sekumpulan 100 peguam yang dikenali sebagai G100 diwakili Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman terkilan dengan sikap wakil rakyat terbabit dan mendesak Presiden Majlis Peguam, Christoper Leong tampil menjelaskan pendiriannya terhadap insiden tersebut.

“Tindakan beberapa Ahli Parlimen di Dewan Rakyat itu adalah suatu perbuatan menghina keputusan lima hakim serta institusi kehakiman negara kita. Sebagai Majlis Peguam yang bertanggungjawab, Christopher sepatutnya bangkit segera mengkritik tindakan memalukan setengah wakil rakyat terbabit dan melindungi kehakiman dan perundangan negara.

“Mahkamah Persekutuan, sistem kehakiman tertinggi negara yang tidak boleh dihina apatah orang biasa. Jika sekitar tahun 1980-an, sebarang penghinaan terhadap kehakiman segera diperjuangkan Majlis Peguam yang ketika itu yang bebas dan saksama.

“Kini keadaan sudah berbeza yang mana Christoper berdiam diri tanpa sebarang tindakan bagai sudah ‘kehilangan’ taringnya. Pihak berkuasa Peguam Negara serta polis boleh mengambil tindakan segera mengikut undang-undang,” katanya pada sidang media di Jalan Ampang di sini petang tadi.

Dalam pada itu, Abdul Aziz turut kecewa dengan sikap Christopher yang enggan memohon maaf dan menarik balik kenyataan bertarikh 11 Februari 2015 yang mengkritik keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Kes Liwat 2 Anwar Ibrahim.

“Sebelum ini pada 21 Februari lalu kami telah menggesa Christopher menarik balik kenyataannya itu atau meletakkan jawatan jika gagal berbuat demikian, Namun dia mengelak sebarang kenyataan susulan selain memberi alasan ia akan dirujuk ke Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) esok.

“Bagi kami ia tidak perlu dirujuk dan dibincang dalam AGM, bagaimanapun, kita lihat esok sama ada dia menarik balik atau sebaliknya, kerana esok pemilihan presiden serta ahli jawatankuasa. Kita bawa usul untuk dibahaskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Peguam pada esok.

“Kandungan usul itu antara lain adalah meminta Christopher menarik balik kenyataan media bertarikh 11 Februari 2015 dan mengemukakan permohonan maaf kepada sistem kehakiman negara.

“Sekiranya Christopher gagal berbuat demikian, adalah menjadi tugas Presiden Majlis Peguam yang berikutnya untuk menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf kepada sistem kehakiman,” katanya.

Sila like page peguam G100: https://www.facebook.com/pages/G100-lawyers/328292830701975