DAP Bincang Hudud PAS Kelantan

DAP akan memutuskan masa depan parti itu bersama Pakatan Rakyat pada Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi DAP pada 23 Mac ini, kata Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke.

“Pimpinan tertinggi DAP akan mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi pada hari Isnin, 23 Mac 2015, di Kuala Lumpur untuk membincang dan memutuskan hala tuju DAP bersama PR selepas “ditikam dari belakang” oleh PAS Kelantan pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan media yang dilaporkan roketkini.

Anthony menyifatkan DAP telah ditikam dari belakang kerana Kerajaan Negeri Kelantan hari ini telah membentangkan Enakmen Jenayah Syariah di Dewan Undangan Negeri (DUN) meskipun tidak disokong oleh Pakatan Rakyat (PR).

“DAP menegaskan bahawa kami membantah sekeras-kerasnya tindakan PAS Kelantan yang mengingkari keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 12 Mac 2015 dan merupakan satu tindakan provokasi untuk memecahkan Pakatan Rakyat.

“DAP konsisten dengan pendirian kami bahawa pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah atau Hudud adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sesuai dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia,” tambahnya lagi

Dengan nada keras, Anthony turut menegaskan bahawa Pakatan Rakyat tidak akan berjaya menumbangkan Barisan Nasional selagi ada “musuh dalam selimut” yang sentiasa membelakangkan konsensus bersama dan bertindak mengikut rentak yang dimainkan oleh UMNO.

Roketkini turut melaporkan kenyataan Ketua Pemuda Sosialis DAP Malaysia (DAPSY), Teo Kok Seong yang akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk menilai semula hubungan dengan Dewan Pemuda PAS Pusat.

“DAPSY yakin pembentangan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang dibentangkan di sidang DUN Kelantan hari ini adalah permainan politik semata-mata, bukannya untuk keperluan dan kepentingan rakyat mahupun penekanan ajaran Islam yang bijak serta syumul.

“Kami kekal dengan pendirian bahawa pelaksanaan hudud adalah bertentangan dengan asas-asas pembinaan negara yang digariskan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“DAPSY juga akan mengadakan mesyuarat Majlis Eksekutif dalam waktu terdekat untuk mengkaji semula kerjasama antara kami dan Dewan Pemuda PAS Pusat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah menyatakan, tindakan sombong dan angkuh PAS juga secara tidak langsung telah mencemari hari ulangtahun ke-49 DAP hari ini.

Teo berkata, beliau amat kecewa dengan tindakan PAS Kelantan yang dibuat secara tergesa-gesa tanpa sebarang usaha untuk menyelesaikan perbezaan pendapat secara kolektif dalam pimpinan PR.

Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong pula berkata pelaksanaan undang-undang jenayah Islam atau hudud seperti tukul yang dicipta untuk memecah-belahkan PR dan sekaligus mengukuhkan kedudukan anasir pro-UMNO dalam PAS serta melemahkan para pemimpin parti itu yang pro-Pakatan Rakyat.

Liew turut menuduh Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mempunyai agenda tersendiri dalam pelaksanaan hudud di Kelantan.

“Langkah tergesa-gesa hendak membentangkan rang undang-undang hudud dalam DUN Kelantan tanpa melalui proses perundingan yang sempurna dengan PAS dan sekutunya dalam Pakatan Rakyat menunjukkan bahawa ada tujuan terselindung di sebaliknya.

“Saya percaya semua pemimpin dan anggota PAS menyokong hudud secara prinsip, namun saya tidak percaya bahawa semua mereka bersetuju dengan cara isu hudud ditangani sekarang. Saya percaya Nik Amar mempunyai motif tersendiri.

“Pertama, beliau sedang cuba mengukuhkan kedudukannya untuk mengatasi Husam Musa dalam politik Kelantan.

“Kedua, berdasarkan taklimat Nik Amar dalam mesyuarat Pakatan, beliau percaya enakmen hudud akan menyelamatkan PAS Kelantan dalam pilihanraya akan datang; bererti beliau tidak yakin PAS mampu menang dalam pilihanraya nanti.

“Ketiga, beliau sedang menyiapkan diri untuk sekali lagi bertarung dengan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu bagi merebut jawatan kedua tertinggi dalam parti pada pemilihan parti nanti. Dua tahun lalu beliau tewas di tangan Mat Sabu.

“Keempat, beliau berpandangan hudud mampu meningkatkan sokongan terhadap PAS di seluruh negara, walaupun banyak kerusi PAS di kawasan selain pendalaman dimenangi menerusi undi non-Muslim,” kata Liew dalam tulisan bertajuk “Hudud sebagai tukul -Kisah sebenar di sebalik langkah hudud Kelantan.”