DAP Tamatkan Kerjasama Dengan Hadi Tapi Kekal Dalam Pakatan

Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP yang bermesyuarat malam tadi memutuskan meneruskan kerjasama bersama Pakatan Rakyat (PR) tetapi menegaskan ia sudah hilang keyakinan terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti itu kesal dengan tindakan “tidak jujur dan tidak bermaruah” Hadi yang bekerjasama dengan Umno melanggari semangat konsensus serta Dasar Bersama dalam Pakatan Rakyat (PR).

Oleh itu, ia membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Hadi dan akan mengadakan perbincangan dengan PKR bagi menentukan masa depan PR.

“DAP tidak boleh bekerjasama dengan presiden PAS seperti Hadi yang tetap bertindak secara tidak jujur dan tidak bermaruah.

“DAP hilang kepercayaan dan keyakinan pada Hadi sebagai pemimpin PR dan akan memutuskan hubungan serta menghentikan kerjasama dengan beliau.

“Oleh kerana Hadi adalah pemimpin PAS dalam PR, keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Hadi secara efektif akan meletakkan Majlis Pimpinan PR dalam keadaan terawang-awang.

“DAP akan bertemu dengan kepimpinan PKR membincangkan nasib PR pada masa depan,” menurut resolusi mesyuarat itu yang dikeluarkan hari ini.

Lim mendakwa, Umno menghasut PAS melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan pada 27 Mac 2014, semasa sidang Parlimen, dengan menjanjikan sokongan daripada kerajaan persekutuan.

DAP dengan itu menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak segera membuat pendirian jelas dan tegas sama ada akan menyokong atau menolak enakmen hudud di Kelantan.

“Beliau juga harus menjelaskan peranan ahli Dewan Undangan Negeri Umno Kelantan dalam menyokong rang undang-undang hudud.

“Najib juga harus menyatakan sama ada beliau menyokong Rang Undang-undang Persendirian yang dibentangkan Hadi,” katanya.

Lim yang juga ahli Parlimen Bagan berkata, semua 37 ahli Parlimen DAP akan menolak rang undang-undang persendirian berkaitan hudud itu, yang dijadual dibentangkan Hadi.

“DAP menolak pelaksanaan undang-undang hudud kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan.

“Tambahan pula, rakyat Malaysia yang menyokong PAS dalam Pilihan Raya Umum yang lalu tidak mengundi untuk pelaksanaan hudud, tetapi untuk Dasar Bersama,” katanya.

DAP juga memberi tiga contoh Hadi mengambil tindakan tidak jujur dan tidak bermaruah.

Pertama apabila beliau mengkhianati keputusan bersama Majlis Pimpinan PR dalam mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal PR untuk jawatan menteri besar Selangor.

“Ia sehingga mengakibatkan krisis besar yang berlarutan dan hampir menjatuhkan kerajaan PR Selangor,” kata Lim.

Kedua ialah kegagalan Hadi menepati kata-katanya sendiri semasa Majlis Pimpinan PR pada 8 Februari lalu, bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 2015 bakal dibincangkan pada Majlis Pimpinan PR.

Dan ketiga, ialah permohonan Hadi ke Parlimen pada 18 Mac membentangkan usul rang undang-undang persendirian tanpa terlebih dahulu membentangkannya kepada Jawatankuasa Pusat PAS serta Majlis Pimpinan PR.

DAP dalam resolusi mesyuaratnya turut menegaskan semula komitmennya kepada PR sebagai gabungan pentadbiran yang mewakili aspirasi semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau kepercayaan.

“PR berhasrat membina Malaysia baharu berdasarkan nilai-nilai asas seperti kebebasan, keadilan, demokrasi, integriti dan martabat manusia.”

DAP juga mengulangi pendirian yang semua parti komponen PR harus berpegang kepada semangat Dasar Bersama melalui muafakat yang berkisar pada amanah dan sifat saling menghormati dalam Majlis Pimpinan PR.

Mesyuarat tergempar CEC malam tadi berlangsung hampir empat jam dan membincangkan masa depan parti itu di dalam PR susulan keputusan PAS meneruskan agenda hudud dengan membawa rang undang-undang persendirian di Parlimen.