EXCO Pas Kelantan Dedahkan Kisah Sebenar di sebalik Mesyuarat Hudud

Exco Kerajaan Negeri Kelantan, YB Dato’ Dr Mohamed Fazli Hassan mendedahkan situasi sebenar yang didakwa berlaku dalam mesyuarat Pakatan Rakyat (PR) bagi menjelaskan undang-undang hudud sebelum ini.

Menurutnya dakwaan pimpinan DAP dan PKR yang menyebut PAS tidak membuat sebarang penjelasan kepada PR tentang hudud adalah tidak benar sama sekali.

Kenyataan penuh Dr Mohamed Fazli Hassan :
https://www.facebook.com/mohamedfadzli.hassan/posts/946606622037380

Assalamu ‘Alaykum wa RahmatulLahi wa Barakaatuh.

Susulan keputusan politik yang dibuat oleh DAP semalam menyebabkan ada dikalangan masyarakat yang meletakkan kesalahan kepada PAS. Antara sebabnya adalah isu hudud. Alasannya, keputusan DAP tersebut adalah kerana PAS tidak menjelas dan memahamkan mereka tentang jenayah Shariah dan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Shari’ah (1993) Kelantan Pindaan 2015 atau EJS Kelantan.

Saya tidak berhasrat mempertikaikan apa sahaja pandangan tuan puan. Saya juga menghormati hak setiap orang untuk berbeza pendapat berhubung perlaksanaan EJS Kelantan asalkan kita bersetuju bahawa mematuhi undang-undang jenayah Islam adalah satu kewajipan kepada setiap orang Islam.

Di sini saya hanya ingin mengambil kesempatan untuk menjelaskan satu perkara sahaja iaitu berhubung tanggapan bahawa PAS dan kerajaan Kelantan tidak memberikan kefahaman secukupnya kepada rakan pimpinan PR. Saya merasa bertanggung jawab sebab saya adalah Timbalan Pengerusi JK Teknikal Kanun Jenayah Shari’ah Kelantan dan salah seorang wakil Kelantan dalam perbincangan dengan pimpinan PR berhubung isu ini.

Untuk makluman saudara saudari semua, tanggapan mengatakan pimpinan PAS tidak membuat penjelasan kepada pimpinan PR tentang Rang Undang Undang Kanun Jenayah Shari’ah (II) Kelantan 1993 adalah tidak betul. Saya sendiri sudah 3 kali bersama dengan Pimpinan PAS Pusat dan Pimpinan Kerajaan Negeri berjumpa pimpinan PR menjelaskan tentang Hudud.

Bermula di HQ DAP di Cheras. Semua pimpinan atasan PR hadhir dan dipengerusikan sendiri oleh DSAI. Kemudian di Pejabat Agung PAS Di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur dan akhir sekali di bangunan Parlimen baru baru ini.

Pimpinan lain seperti Dato Nik Ammar dan Dato Takiuddin pula hadir tidak kurang dari 4 kali.

Bagi saya Pimpinan PR sudah jelas tentang Hudud dan pendirian kita. Di perjumpaan terakhir di Parlimen baru ni tidak ada pun keputusan dibuat supaya PAS menangguhkan pembentangan pindaan RUU EJS di DUN Kelantan.

Sebaliknya kita tegaskan bahawa kita mesti bawa sebab telah diluluskan oleh Majlis Ulama MAIK dan telah mendapat perkenan dari Baginda Sultan.

Mereka seterusnya minta kita ubah dengan menyebut perkataan “pindaan”. Pada awalnya kita agak keberatan kerana akan merumitkan pembentangan. Dato MB terpaksa sebut satu persatu pindaan yang kita buat apabila Beliau membuat pembentangan dalam sidang DUN. Tetapi mesyuarat JK PAS Pusat keesokannya bersetuju menghormati pandangan mereka dan setuju memenuhi desakan mereka. Terpaksalah MB menyebut banyak perkara sewaktu pembentangan. Itulah antara sebab mengapa kita kena buat beberapa pembetulan.

Tiba tiba apabila diluluskan dalam DUN Kelantan, keluar kenyataan dari DAP bahawa PAS tikam PR dari belakang dengan meneruskan pindaan tersebut. Alasannya mesyuarat PR di bangunan Parlimen memutuskan PAS menangguhkan pindaan EJS. Tidak ada langsung keputusan begitu.

Untuk pengetahuan tuan puan semua, 3 kali saya berhadapan dengan majlis pimpinan PR, sikap sebahagian dari mereka sangat tegas menolak EJS dalam setiap kali perjumpaan.

Sebagai contohnya,YB Dato Takiyuddin bangkitkan pertanyaan sekiranya PAS patuh kepada syarat dan cadangan yang mereka ajukan, adakah mereka bersetuju dengan EJS. Wakil DAP dengan tegas menjawab tidak sebab DAP dari awal lagi menolak EJS. Kalau begitu sikapnya, kenapa harus ada perbincangan?

Bukankah selama ini mereka yang mendesak supaya isu ini dibawa dalam perbincangan. Untuk makluman semua, pindaan EJS yang kita buat itupun sebenarnya adalah mengambil kira pandangan mereka contohnya dalam hal kedudukan orang bukan Islam.

Dalam perjumpaan terakhir baru-baru ini, sebaik bermula saja mesyuarat, mereka terus mendesak supaya mesyuarat majlis pimpinan PR membuat keputusan supaya hudud hendaklah digugurkan dari agenda parti dalam gabungan PR dengan merujuk secara khusus kepada PAS. Adakah ini boleh diterima?

YB DATO’ DR MOHAMED FADZLI HASSAN
EXCO Kerajaan Negeri Kelantan
Timbalan Pengerusi JK Teknikal Kanun Jenayah Shariah Kelantan
24 Mac 2015