GST Halang Peniaga Tipu Pelanggan

Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan pada 1 April 2015 dapat menghalang peniaga daripada mengelak membayar cukai atau memindahkan cukai itu kepada pembeli.

Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin berkata, melalui GST, pengilang, pemborong atau peruncit boleh dikatakan tidak ada ruang untuk menipu atau cuba memindahkan cukai tersebut kepada pengguna dengan menaikkan harga barangan sesuka hati.

“Ini kerana setiap peniagaan yang merekodkan keuntungan RM500,000 dan ke atas hasil jualan setahun wajib mendaftar, dan mereka perlu mengisytiharkan keuntungan dan jualan diperoleh syarikat.

“Malahan mereka turut menikmati rebat dan pulangan ke atas cukai yang dikenakan terhadap pengilang, pemborong dan peruncit. Jadi tiada sebab mereka boleh menaikkan harga barangan,” katanya.

Menurut beliau, jika pengguna atau pembeli merasakan harga yang dikenakan tidak munasabah atau terlalu tinggi, mereka perlu membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk diambil tindakan ke atas peniaga tersebut.