Haron Din isyarat PR jangan berpecah

Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din menganggap keputusan DAP memutuskan hubungan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang amat melampau dan memberi isyarat yang hubungan Pakatan Rakyat (PR) bakal berkecai.

Haron turut mengecam DAP kerana menggunakan istilah “pengkhianat” ke atas presiden PAS itu, dan berkata ia tidak patut dikeluarkan rakan sekutu dalam PR sendiri.

Menurutnya, orang biasa pun tidak mengeluarkan perkataan seumpama itu.

“Adakah pada saat seperti ini ketika kita semua mahu perbaiki semua keretakan, tiba-tiba DAP buat kenyataan yang meluaskan retak itu?

“Memutuskan hubungan dengan presiden mengisyaratkan kepada PR akan berpecah,” katanya kepada akhbar milik Umno itu semalam.

Haron mendakwa, yang nyata, bukan PAS memulakan masalah keretakan di dalam PR.

“Tidak fahamkah DAP yang presiden ialah sebahagian dalam parti, dan parti merupakan sebahagian presiden. Jadi, mana mungkin dipisahkan? Kalau tidak mahu berhubung dengan presiden, nak berhubung dengan siapa?

“Parti di bawah arahan presiden. Amat pelik tindakan DAP itu. Kita nampak isyaratnya ialah ke arah itu (berpecah).

“Apa maknanya kalau putus kepala kalau ekor tidak putus? Putus kepala maknanya mati, ertinya habis,” tambah beliau.

Haron dilaporkan turut mempersoalkan kewajaran tindakan DAP itu yang seperti mahu mengajar PAS dan mengarahkan parti itu menukar presiden jika mahu terus kekal dalam pakatan pembangkang.