Hudud Lebih Penting Dari Pakatan

Mursyidul am PAS yang baharu Datuk Dr Haron Din berkata hudud merupakan ketetapan yang jauh lebih penting berbanding kerjasama Pakatan Rakyat (PR ) dan menegaskan parti Islam itu tidak akan berganjak daripada prinsip asal perjuangannya walaupun ditentang DAP dan PKR.

Haron yang menjadi mursyidul am selepas allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz berkata, agenda hukum hudud sudah sebati dengan PAS dan parti itu akan tetap meneruskannya.

“Seluruh ahli PAS terutamanya pemimpin menyedari pada satu ketika akan berlaku pertembungan di antara PAS yang hendak menegakkan prinsipnya dengan rakan kongsinya yang mungkin beralah lalu menyokong atau berkeras menentang.

“Kalau PAS teragak-agak atau lebih mementingkan sekutunya yang menentang atau terlampau sayang dengan pakatan sehingga sanggup mengorbankan prinsipnya, maka PAS tidak akan membentangkan rang pindaan hukum hudud yang sedang berlaku di Kelantan.

“PAS sudah menyatakan kesungguhannya, PAS tidak bercakap saja, PAS melaksanakannya, PAS lebih mengutamakan hukum Allah lebih daripada hukum manusia,” katanya.

Haron berkata, PAS tidak pernah membelakangkan DAP mahupun PKR kerana perjuangan menegakkan hukum hudud sudah diterangkan berulang kali sehingga seluruh dunia mengetahuinya.

“Kalau perbuatan (membentangkan enakmen) itu dikatakan tikam belakang, kenapa tidak kata tikam depan saja, kita sudah beritahu dan terangkan berulang-ulang kali sampai masyarakat pun muak, PAS bukan saja beritahu DAP tetapi seluruh Malaysia dan dunia,” katanya.

Haron memberitahu, PAS tidak bimbang tindakan meneruskan rancangan hudud akan menyebabkan kehilangan sokongan bukan Islam kerana lebih takut kemurkaan Allah.

“Dengan lain perkataan, PAS lebih mengharapkan bantuan Allah daripada manusia,” katanya.